KESATUAN Eropah (EU) digesa lebih banyak membantu berhubung isu migran di Itali atau negara itu terpaksa mencari kaedah penyelesaian lain, kata Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini.
“Masalah kebanjiran ribuan ‘bukan pelarian’ tidak wajar hanya ditanggung negara Itali sahaja.
“Sama ada Eropah membantu mengetatkan kawalan sempadan, menyelamatkan nyawa dan beri jaminan keselamatan atau kita perlu mencari jalan penyelesaian lain,” tulisnya di Facebook.
Agensi berita Xinhua melaporkan, terdahulu beliau ditemu bual oleh stesen penyiar rasmi kerajaan RAI 1.
Salvini, pemimpin parti Liga kanan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri pada Jumaat, selepas dipilih menyertai barisan kabinet kerajaan populis pertama Itali pimpinan Perdana Menteri Giuseppe Conte.
Pada Ahad, dalam satu sesi lawatan singkat ke pusat penempatan migran di Sisilia, Salvini menegaskan Itali tidak lagi boleh menjadi “kem untuk pelarian Eropah”.
Sehingga 1 Jun, Itali merekodkan 13,430 ketibaan migran, daripada jumlah itu seramai 9,200 tiba dari pantai Libya, menurut data Kementerian Dalam Negeri.
Itali menerima sejumlah 181,436 migran dan pelarian pada tahun 2016 manakala seramai 119,369 orang pada 2017. – Bernama, 5 Jun, 2018.
Komen