PRODUSER filem terkemuka Hollywood yang diselubungi skandal, Harvey Weinstein dijangka mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan merogol dan serangan seksual di New Work, bakal membawa perjuangan perundangan yang panjang untuk gerakan #MeToo yang mahu menyumbatnya ke penjara.
Weinstein, 66, didakwa atas tuduhan merogol dan jenayah seks di New York akhir bulan lalu, hampir lapan bulan selepas kerjayanya berakhir susulan siri pendedahan tuduhan salah laku seksual.
Dia dijangka dihadapkan di mahkamah Manhattan jam 10 pagi waktu tempatan untuk dibacakan pertuduhan rasmi. Dia didakwa memaksa seorang wanita melakukan seks oral ke atasnya pada 2004 dan merogol seorang mangsa lain di sebuah hotel Manhattan pada 2013.
Jenayah itu boleh menyebabkannya menerima hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Dua wanita dinamakan dalam pertuduhan itu namun hampir 100 mangsa lain tampil sejak Oktober lalu mendakwa mereka diganggu atau didera secara seksual oleh Weinstein selama beberapa dekad.
Ia menukar Hollywood sebagai pemangkin pergerakan MeToo dan Weinstein, tidak syak lagi pemangsa seksual terburuk dalam sejarah Amerika.
Salma Hayek, Gwyneth Paltrow dan Angelina Jolie antara lebih 24 aktres yang mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh produser itu. Antara mangsa lain termasuk Asia Argento dan Rose McGowan yang mendakwa mereka dirogol.
Peguam Weinstein, Benjamin Brafman, adalah seorang daripada peguam bela jenayah terkenal di Amerika Syarikat. Anak guamnya termasuk bekas ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn yang terlepas pendakwaan jenayah kerana didakwa melakukan serangan seksual pada 2011.
Pendakwa raya tidak memberi butiran mengenai identiti dua mangsa berkenaan. – AFP, 5 Jun, 2018.
Komen