Peguam suspek bunuh Jong-Nam terima dokumen penting


Peguam Naran Singh yang mewakili warga Vietnam Doan Thi Huong, suspek kes bunuh Kim Jong-Nam, bercakap kepada wartawan di luar penjara Kajang hari ini. – Gambar AFP, 16 Jun, 2017.

PEGUAM kepada dua wanita yang didakwa membunuh abang sebapa pemimpin Korea Utara di Malaysia menerima laporan bedah siasat hari ini, selepas pendakwa pada awalnya tidak berkongsi dokumen utama.

Warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa menyapu agen saraf terlarang VX di muka Kim Jong-Nam ketika mangsa menunggu untuk menaiki pesawat dari Klia2 ke Macau pada Februari.

Wanita terbabit yang berdepan hukuman mati jika disabitkan, berkata mereka diperdaya yang mereka sedang berlakon dalam satu siri realiti TV.

“Dokumen yang diterima ialah laporan bedah siasat, laporan kimia, laporan tahanan dan beberapa yang lain,” kata Naran Singh yang mewakili Huong kepada wartawan di penjara di mana suspek ditahan.

Peguam sebelum ini mengadu pihak pendakwa enggan berkongsi dokumen yang dikatakan penting untuk menyediakan pembelaan.

Naran berkata beliau menjangka untuk menerima rakaman CCTV berkaitan kematian itu tidak lama lagi.

Penyerahan 44 berkas dokumen dilakukan di penjara Kajang yang dikawal rapi.

Seoul menuduh Korea Utara menjadi dalang pembunuhan Jong-Nam yang hidup dalam buangan, tetapi Pyongyang menafikan.

Polis masih cuba menjejaki empat warga Korea Utara yang disyaki terbabit dalam plot pembunuhan itu tetapi mereka dipercayai sudah kembali ke Pyongyang sebaik saja selepas kejadian itu.

Huong dan Aisyah dalam keadaan baik dan akan hadir untuk pra perbicaraan pada 28 Julai sebelum perbicaraan penuh tahun ini, kata peguam.

Gooi Soon Seng, yang mewakili Aisyah berkata beliau akan memohon lebih masa untuk menyediakan pembelaan kerana pasukannya perlu mendapatkan rundingan pakar dari Denmark mengenai agen saraf VX itu. – AFP, 16 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen