Jangan jadi alat Israel dan Amerika


AL-QURAN dalam surah al-Baqarah ayat 120, mengingatkan kita tentang ikrar orang Yahudi Zionis yang mereka tidak sesekali akan reda sehinggalah orang Islam mengikut jalan hidup mereka.

Israel diwujudkan di tengah-tengah negara Arab dengan fahaman Zionis. Mereka wujud pada 1947 dengan merampas tanah dan mengusir penduduk Palestin dan diiktiraf kewujudannya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1948.

Negara Arab tidak pernah sepakat untuk menghadapi Zionis Israel sekalipun mereka membaca Al-Quran tetapi tidak ambil peduli amaran dan pengajaran di dalamnya.

Pergeseran Arab Saudi, UAE, Mesir, Bahrain dan negara lain yang cuba memboikot Qatar dengan memutuskan hubungan diplomatik adalah berpunca daripada adu domba dirancang Amerika Syarikat (AS) dan Zionis.

Kenapa orang Arab dan orang Islam tidak insaf terhadap apa yang pernah berlaku. Cukuplah kita salahkan orang lain sebaliknya orang Islam sendiri hendaklah pergi ke meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian.

Dulu negara Arab ini pernah bersatu di bawah Amerika Syarikat dan Israel bagi menyerang Iraq dan sekarang apakah ulangan kedua akan berlaku terhadap Qatar.

Negara Arab dan bukan Arab yang lain seperti Turki dan Pakistan jangan pula berdiam diri. Kita perlu mencari jalan kembali ke meja rundingan.

Jangan biarkan negara Arab yang kaya ini menjadi kuda tunggangan kepada AS dan Israel. Malangnya mereka sendiri tanpa segan silu mengaku lebih menjadi sahabat kepada AS dan Israel dari negara Islam lain.

Usaha pelbagai pihak untuk membawa Qatar dan Arab Saudi ke meja rundingan perlu disokong.

Jangan biarkan sepanjang zaman Zionis Israel dan Amerika menguasai Timur Tengah dan meletakkan orang Islam dihina dan malang atas pertelingkahan mereka. – 16 Jun, 2017.

* Mohamad Sabu ialah presiden Amanah.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen