Rosmah tiba di SPRM, beri keterangan kes SRC International


Chan Kok Leong Kamles Kumar

Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini untuk disoal siasat berhubung kes SRC International dalam skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Jun, 2018.

ISTERI bekas perdana menteri, Rosmah Mansor tiba di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pagi ini untuk memberi keterangan melibatkan penglibatan dalam SRC International, salah satu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Beliau yang memakai baju kurung biru dan bertudung merwah tiba pada kira-kira jam 10.43 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan Mercedes Benz.

Rosmah ditemani oleh anak perempuannya Nooryana Najwa, yang berkahwin dengan anak saudara presiden Kazakhstan, Daniyar Kessibayev dalam satu majlis penuh kemewahan pada 2015.

Terdahulu, beliau dilihat meninggalkan kediamannya di Langgak Duta dengan diiringi tiga kereta lain tanpa pengiring bermotosikal.

Rosmah diwakili peguam Geethan Ram Vincent dan K. Kumaraendran.

Najib juga sudah pun memberi keterangan kepada SPRM dua kali berhubung kes sama.

Pasangan itu kini disekat dari meninggalkan Malaysia dan disiasat selepas kekalahan parti Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Polis turut menggeledah kediaman Najib dan beberapa apartmen yang dikaitkan dengan keluarganya.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa merampas wang tunai sebanyak RM114 juta, selain barang kemas dan 284 beg tangan mewah.

Sebanyak 150 lagi beg tangan mewah dan barangan berharga lain turut dirampas dari kediaman berkenaan.

Siasatan itu berhubung dakwaan bahawa Najib menerima wang yang dicuri dari 1Malaysia Development Berhad.

Ia melibatkan dana berjumlah RM42 juta yang didakwa disalurkan melalui SRC International dan sejumlah AS$731 juta (RM2.6 bilion) dari Tanore Finance Corp.

Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (Amla).

Najib menafikan segala dakwaan salah laku melibatkan kes berkenaan. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen