Perihal menyebar ketakutan dan Tommy Thomas


DALAM salah satu sidang media awalnya selepas pilihan raya, Dr Mahathir Mohamad ditanya bagaimana pendekatan kerajaan baru ini terhadap hak orang Melayu.

Beliau menjawab dengan menekankan bahawa kerajaannya akan mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan hak orang Melayu akan dihormati, sama seperti hak bukan Melayu. Apa yang penting, beliau juga menekankan kerajaannya akan bertindak mengikut kedaulatan undang-undang.

Dengan mengambil pendirian itu, dan melihat pada tindakannya sejak itu, terutamanya dalam mencadangkan sebuah jemaah menteri dengan latar belakang anggotanya pelbagai, yang belum pernah disaksikan sebelum ini, serta kebebasan yang beliau berikan kepada menterinya untuk menyatakan pendirian atas portfolio mereka, Dr M memberi isyarat tentang potensi kita untuk beralih daripada pembinaan politik etno-agama kepada pendekatan lebih inklusif berdasarkan keupayaan.

Pendekatan seperti ini tampaknya diterima oleh pengundi. Bagaimanapun, seperti yang kita lihat dan dengar dalam tempoh selepas pilihan raya, ada banyak perdebatan tentang apa yang membawa kepada tumbangnya BN.

Sungguhpun sudut pandang inklusif itu merupakan faktor penting, perbahasan itu mendedahkan ketidaktentuan tentang apakah ia berperanan penting dan, jika ya, apakah pendekatan itu akan berkekalan.

Ini memberi peluang kepada pengkritik yang mahu melemahkan atau malah menghalang kelancaran kerajaan sekarang. Tidak perlu disangkal lagi; setiap pemain politik yang akan mendapat faedah daripada lonjakan isu etno-agama akan berusaha seiring dengan lonjakan itu atau menyokong usaha itu.

Pihak ini akan menjaja ketakutan terhadap penghakisan kedudukan Raja-raja Melayu, hak orang Melayu dan pentadbiran Islam untuk digunakan bagi pelbagai tujuan yang akhir menjurus kepada kepentingan diri.

Pencalonan Tommy Thomas tampaknya jadi satu titik pertembungan. Ia jadi pentas untuk menanam rasa takut tentang hal-hal itu. Pencalonan yang sangat berwibawa itu digambarkan sebagai cubaan melemahkan Islam melalui liberalisme dan sekularisme, serta meremehkan demokrasi melalui sokongan tersirat kepada idealisme komunis.

Ini terangkum dalam penafian yang ketara tentang keperluan yang sah bagi pihak Raja-raja Melayu, terutamanya Yang di-Pertuan Agong, untuk mendapatkan nasihat atas perkara bersangkutan syariah dengan menamakan seorang yang bukan Islam.

Penafian yang sengaja ini membayangkan keperluan sah Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam diabaikan melalui pencalonan itu.

Akibat daripada kekeruhan itu, ada kemungkinan perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Raja-Raja. Raja-raja Melayu sememangnya berhak membincangkan perkara yang pada pandangan mereka relevan dengan kedudukan mereka sebagai Raja-raja Melayu.

Perlu dipertimbangkan bahawa, tidak seperti pelantikan hakim Mahkamah Agung (Perkara 122B(1)), pelantikan seorang peguam negara bukan suatu perkara yang memerlukan perundingan dengan Majlis Raja-Raja. Ia suatu perkara yang perlu diambil tindakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri (Perkara 145(1) dibaca bersama Perkara 40(1A)).

Ini tidaklah bermakna Yang di-Pertuan Agong dihalang daripada menimbang perkara itu melalui perundingan dengan Raja-raja Melayu yang lain, sekiranya baginda merasakan ada keperluan berbuat demikian.

Timbul persoalan perundangan tentang skop rundingan berkenaan. Ia akhirnya bersangkutan dengan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan peguam negara.

Perkara 145(1) berkait khusus dengan pelantikan peguam negara dan secara zahir menyatakan Yang di-Pertuan Agong melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri.

Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu mempersoalkan nasihat tersebut kecuali atas persoalan terhad apakah perdana menteri diberi kuasa untuk memberikan nasihat berkenaan. Misalnya, dalam mencadangkan pemecatan seseorang peguam negara dan pelantikan seseorang yang lain, beliau mungkin ada konflik kepentingan.

Perkara 40 bagaimanapun secara umum menyatakan ruang untuk Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat. Perkara 40(1) dan (1A) mencadangkan Yang di-Pertuan Agong berhak “menimbang” nasihat yang diberi, dan bagi tujuan itu, dibenarkan akses kepada maklumat yang mungkin kerajaan ada mengenai perkara tersebut.

Oleh itu, skop perundingan mungkin lebih luas walaupun kemudiannya Yang di-Pertuan Agong diwajibkan bertindak atas nasihat. Kita juga boleh berhujah bahawa oleh sebab Perkara 145 secara khusus menyentuh tentang pelantikan peguam negara, peruntukan itu harus terpakai kerana peruntukan yang khusus mengatasi peruntukan yang umum.

Mana-mana tafsiran yang terpakai, pada pandangan saya, Yang di-Pertuan Agong akhirnya terpaksa bertindak atas nasihat yang diberikan melainkan dalam keadaan perdana menteri tidak diberi kuasa untuk memberikan nasihat sedemikian.

Bagaimanapun, ini tidak perlu diambil perhatian.

Urusan berkaitan dengan pentadbiran Islam tertakluk di bawah bidang kuasa Negeri. Raja-raja Melayu adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing. Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan.

Fokus Raja-raja Melayu adalah berkenaan undang-undang peribadi orang Islam. Bagi tujuan ini, majlis agama dan mufti setiap negeri menasihati Raja-raja Melayu masing-masing. Inilah keadaannya termasuk di Wilayah Persekutuan.

Seterusnya, mahkamah syariah melaksanakan undang-undang syariah dan Pejabat Peguam Negara tiada peranan dalam hal ini.

Hanya apabila undang-undang Islam bertembung dengan perkara-perkara melibatkan kerajaan persekutuan barulah Pejabat Peguam Negara terlibat; misalnya dalam soal undang-undang berkenaan perbankan Islam. Pentadbiran agama Islam sebagai undang-undang peribadi bukan bidang kuasa Pejabat Peguam Negara.

Mengenai kedudukan orang Melayu, itu dilindungi oleh Perkara 153. Melainkan dan sehingga peruntukan itu dimansuhkan dari Perlembagaan Persekutuan, ia tetap ada.

Melihat keadaan ini, saya tidak fikir ada apa-apa sebab untuk mana-mana kita berasa takut. Sistem akan mengawalnya sendiri.

Kerajaan berubah pada 9 Mei dan langit tidak runtuh. Pelbagai hal sedang bergerak di landasan yang betul dan, dapatlah difahami, sejumlah besar rakyat Malaysia bimbang akan usaha untuk menjejaskan perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Kita bimbang kerja menakut-nakutkan yang berterusan hanya akan memerangkap kita dalam keserabutan politik perkauman yang selama ini membantutkan kemajuan kita sejak sekian lama. – 5 Jun, 2018.

* Malik Imtiaz Sarwar ialah seorang peguam.

* Terjemahan ini asalnya terbit dalam Bahasa Inggeris di blognya, Disquiet.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen