.jpg)
DALAM masa seminggu lagi rakyat Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Beberapa bulan kemudian kita akan menyambut Deepavali, kemudian Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina.
Atas semangat layanan baik rakyat Malaysia kita memasak makanan, menghidangkannya dan kita sering memasak lebih daripada yang diperlukan. Memandangkan kita tidak mahu rasa malu disebabkan kekurangan makanan dan dianggap “kedekut” atau “tidak memberikan layanan”. Hasilnya banyak makanan yang dibazirkan.
Menurut SWCorp, rakyat Malaysia membazirkan 15,000 tan makanan setiap hari. Ketika musim perayaan terdapat 15-20% peningkatan dalam pembaziran makanan. Apabila makanan dibazirkan banyak lagi sumber lain dibazirkan bersamanya seperti air, tenaga, dan buruh.
Ia hanya mengambil masa dua saat untuk membuang sepinggan nasi ke dalam tong sampah. Tetapi ia mengambil 100 hari dan 1,000 liter air untuk menghasilkan 1kg beras.
Kebanyakan makanan yang dibazirkan berakhir di tempat pelupusan sampah, di mana ia menghasilkan gas metana, gas rumah hijau yang lebih kuat daripada karbon dioksida.
Pengguna juga tidak menyedari dengan membazirkan makanan mereka juga turut menyumbang kepada peningkatan dalam harga makanan. Makanan dibazirkan kerana kita membeli terlalu banyak yang menyebabkan peningkatan dalam permintaan yang kemudiannya membawa kepada peningkatan harga.
Setiap bulan satu keluarga yang terdiri daripada lima orang di Malaysia membelanjakan purata RM900 untuk makanan. Fakta yang amat mengejutkan ialah suku daripada makanan ini dibazirkan ketika persediaan, memasak dan penggunaan.
Dalam perkataan lain, RM225 dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan dalam bentuk sisa makanan. Mengambil kira data banci 2010 dianggarkan 6.34 juta isi rumah di Malaysia, ini boleh diterjemahkan kepada jumlah yang amat mengejutkan iaitu kira-kira RM1.4 bilion ringgit dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan dalam bentuk sisa makanan.
Pembaziran makanan merupakan satu dosa dan tiada agama yang membiarkan pembaziran makanan. Seperti kata pepatah lama “tiada sebutir nasi mesti dibazirkan”.
Memandangkan musim perayaan semakin dekat, marilah kita bersama-sama untuk tidak membazirkan makanan. Masaklah dengan kasih sayang dan makanlah dengan penuh kesedaran. – 5 Jun, 2018.
* S. M. Mohamed Idris ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen