Saya akan kembali ke Parlimen, kata Anwar


Zulkifli Sulong

ANWAR Ibrahim membuat keputusan menjadi ahli Parlimen dan akan bertanding dalam pilihan raya kecil dalam tempoh beberapa bulan lagi untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Hanya dua minggu selepas dibebaskan dari penjara, Anwar berkata beliau memilih untuk “mempercepatkan” dirinya kembali ke Parlimen.

“Saya akan cepatkan proses menjadi ahli Parlimen tetapi tidaklah segera,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tentang kerusi mana akan ditandinginya, Anwar berkata ia masih belum diputuskan lagi.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan mengambil alih kerusi Pandan, yang pada masa ini dipegang isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pandan ini ada masalah sikitlah. Kalau saya ambil kerusi Pandan, Azizah kena letak jawatan awal sebagai timbalan perdana menteri, akan jadi satu kekosongan kepada kerusi yang mewakili PKR.

“Jadi saya tak putuskan lagi. Ada yang kata saya patut pilih Pekan,” katanya sambil ketawa merujuk kepada kerusi yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak.

Anwar bagaimanapun berkata kepulangannya ke dalam arena politik sepenuh masa tidak akan berlaku “serta-merta” kerana beliau perlu ke luar negara.

“Minggu depan saya akan ke London untuk bertemu (bekas naib presiden AS) Al Gore. Beberapa hari selepas raya, saya akan ke Turki memenuhi jemputan dari Presiden Erdogan. Selepas itu jumpa dengan beberapa pemimpin dunia dan kawan-kawan saya,” katanya, menambah Perdana Menteri India Narendra Modi juga menghulurkan jemputan.

“Bila semua lawatan itu lengkap dalam beberapa bulan, maka saya akan tawarkan diri sebagai calon pilihan raya kecil.”

Anwar dibebaskan dan diampunkan seminggu selepas hari membuang undi 9 Mei. Beliau dijangka menjadi perdana menteri kelapan selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dalam tempoh dua tahun, dalam perjanjian antara pemimpin Pakatan Harapan.

Ketua umum PKR itu menolak menolak pandangan bahawa beliau tidak boleh menjadi ahli Parlimen biasa tanpa memegang apa-apa jawatan.

“Ada orang kata saya tidak boleh jadi ahli Parlimen. Untuk jadi menteri, saya tidak dibenarkan. Jadi perdana menteri, belum lagi. Dan hendak jadi ahli Parlimen, apa masalah mereka?

“Saya duduk di penjara 10 tahun. Saya dibelasah kiri dan kanan. Kemudian mereka kata saya tidak patut jadi ahli Parlimen. Saya rasa pandangan itu melampau daripada sesetengah orang, kononnya kerana mereka takut saya akan ganggu (pentadbiran sekarang).”

Anwar menekankan beliau tidak akan “mengganggu” pentadbiran, menambah hubungannya dengan Dr Mahathir “baik”.

“Setakat ini, ada komunikasi yang baik. Esok saya akan bercakap dengan beliau lagi. Malam tadi, saya berbual menerusi telefon. Beliau memberi akses yang baik kepada saya.

“Bila saya telefon, dalam beberapa minit saya dihubungkan. Dan ini ialah perdana menteri yang sibuk. Tun Mahathir juga tahu ke mana saya pergi. Sama ada saya mohon mengadap dengan Agong atau jumpa rakyat, saya berita Dr Mahathir dulu.

“Saya beri ruang beliau mentadbir tanpa sebarang gangguan dan biar beliau selesa menjalankan tugas.”

Anwar berkata beliau tidak pernah menjadi ahli Parlimen biasa dalam karier politiknya.

“Takkan saya tak boleh jadi ahli Parlimen biasa. Sejak mula lagi saya belum pun pernah jadi ahli Parlimen biasa tanpa memegang jawatan. Masuk saja politik, saya jadi timbalan menteri, menteri dan selepas itu TPM dan kemudiannya ketua pembangkang. Saya nak tempa sejarah nak jadi ahli Parlimen biasa,” katanya.

Anwar berkata beliau tidak akan bimbang tentang mereka yang suka mengambil kesempatan yang merasakan tidak selamat jika beliau masuk ke dalam pentadbiran sekarang.

“Anda tahu kenapa saya kata saya tidak terlalu risau? Ia kerana selagi hubungan saya dengan Tun Mahathir cemerlang, mereka tidak akan mematahkannya.

“Mereka kata ia berlaku pada 1998 walaupun hubungan saya (dengan Dr Mahathir) pada masa itu baik, ia masih boleh lagi putus. Tetapi kami sudah ambil iktibar. Tun Mahathir ambil pengajaran itu. Saya juga begitu,” katanya. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen