Anwar yakin Raja-Raja Melayu tidak tolak sepenuhnya Tommy Thomas


Zulkifli Sulong

Ketua umum PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau yakin Raja-Raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong tidak akan menolak sepenuhnya pelantikan peguam kanan Tommy Thomas ke jawatan peguam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Jun, 2018.

Ketua umum PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau yakin Raja-Raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong tidak akan menolak sepenuhnya pelantikan peguam kanan Tommy Thomas ke jawatan peguam negara.

Menurut beliau, berdasarkan pertemuannya dengan Raja-raja Melayu sebelum ini, institusi tersebut boleh menerima keputusan itu dan meminta jaminan agar syariat Islam dan kedudukan Melayu tidak terjejas.

“Berbeza dengan pandangan ramai, bahawa Raja-raja Melayu menentang calon peguam negara itu,  saya tidak dapat kesan begitu. 

“Mereka lebih keras pertahankan kedudukan Islam dan Melayu. Siapa pun pegang jawatan itu sepatutnya pertahankan semangat perlembagaan,” kata Anwar dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insight.

Tambah Anwar, isu pelantikan peguam negara itu juga wajar diredakan sekejap agar semua perkara boleh dibincangkan dengan baik.

“Agong boleh berikan pandangan dan peringatan serta menangguh sedikit (pelantikan) agar hasrat dan mesej  untuk menjaga Islam dan adat istiadat Melayu itu sampai kepada kerajaan,” katanya.

Katanya, beliau yakin Majlis Raja-Raja akan dapat mencapai persetujuan dengan perdana menteri dalam isu pelantikan Tommy Thomas.

Jelasnya, semua pihak mesti terikat dengan proses perlembagaan yang menetapkan bahawa perdana menteri berhak menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik peguam negara. 

“Walau bagaimanapun Raja-raja Melayu memberikan pandangan yang wajar. Tidak ada salahnya kita bincang dan akhirnya putuskan dengan baik.

“Kita tahu akhirnya keputusan PM yang menentukannya dalam sistem demokrasi berpelembagaan,” katanya.

Anwar malam ini akan menghadap Yang Dipertuan Agong selepas menghadap tujuh Raja-raja Melayu sebelum ini.

Beliau juga telah dua kali bertemu dengan Raja Nazrin Shah, Sultan Perak dan Tuanku Iskandar, Sultan Johor berhubung isu pelantikan tersebut.

Isu tersebut masih berlarutan selepas perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong agar Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara.

Dr Mahathir bertegas bahawa hanya satu nama saja dikemukakan untuk jawatan itu.

Namun begitu, ia masih tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja akan bersidang esok untuk menentukannya. β€“ 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen