Rakyat Palestin ditembak mati ketika cuba lepasi sempadan Gaza


Seorang rakyat Palestin bersenjatakan kapak ditembak mati ketika cuba melepasi sempadan Gaza-Israel pada Isnin, kata tentera Israel. – Gambar AFP, 4 Jun, 2018.

SEORANG rakyat Palestin bersenjatakan kapak ditembak mati ketika cuba melepasi sempadan Gaza-Israel pada Isnin, kata tentera Israel.

Kenyataan tentera berkata pasukan itu menggagalkan “cubaan penyusupan” oleh “dua pengganas yang merosakkan pagar keselamatan dan bersenjatakan kapak.”

Tentera “menembak ke arah pengganas, membunuh seorang daripadanya,” tambah kenyataan itu, tanpa menyatakan mengenai nasib suspek kedua.

Tiada sebarang pengesahan daripada Kementerian Kesihatan di Gaza.

TV Al-Aqsa menayangkan satu rakaman video menunjukkan sekumpulan anak muda di sempadan tersebut, sebahagian daripada mereka menggunakan pemotong dawai untuk menceroboh pagar tersebut.

Mereka kemudian mendekati pos tentera dan melemparkan sesuatu yang dilihat seperti bom, sebelum berlari masuk semula ke Gaza.

Rakaman itu tidak menunjukkan sebarang aksi tembakan, tetapi seorang saksi berkata seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan ditembak ketika cuba melarikan diri, dan mayatnya diambil oleh tentera Israel.

Rakaman itu berkata operasi tersebut dijalankan sebagai balas dendam terhadap kematian Razan al-Najjar, doktor berusia 21 tahun yang mati ditembak di selatan Gaza pada Jumaat. – AFP, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen