Kerajaan Pakatan sentiasa bela Islam, kata Dr Mahathir  


Radzi Razak

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sekarang akan membuktikan pentadbiran akan sentiasa mengikut lunas Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan tidak pernah membiarkan agama Islam tidak terbela sebagaimana dakwaan sesetengah pihak walaupun dalam menjaga kebebasan agama kaum lain, kata perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kerajaan PH berjaya memastikan negara ditadbir mengikut undang-undang serta menjaga kebajikan rakyat lain mengikut ajaran Islam sebenar. 

“Kita akan dirikan kerajaan yang berpegang kepada undang-undang dan tidak akan lakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam.

“Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan negara kita ditadbir mengikut landasan undang-undang dan prihatin serta peduli kepada rakyat,” katanya pada Majis Berbuka Puasa Bersatu yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Pakatan berdepan dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan mereka anti-Islam termasuk dalam kontroversi terbaharu melibatkan pelantikan Peguam Negara yang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir yang tidak menamakan mana-mana pihak turut mengecam mereka yang mendakwa lebih Islam daripada PH dan berkata kerajaan sekarang akan membuktikan pentadbiran akan sentiasa mengikut lunas Islam.

“Kita tahu ramai yang mendakwa mereka kononnya melindungi islam, mereka kononnya akan mendirikan kerajaan islam, tetapi kita dapati perbuatan mereka sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam.

“Sebab itu kita tidak teragak-agak atau khuatir melaksanakan pemerintahan mengikut landasan agama Islam dan kita akan buktikan kenapa dasar pendirian mereka itu tidak sebenarnya mengikuti ajaran Islam,” tambah beliau. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen