Anwar mengadap Agong bincang isu peguam negara malam ini


Bede Hong Zulkifli Sulong

Anwar Ibrahim yang sudah mengadap tujuh sultan, termasuk Sultan Johor untuk kali kedua pada malam semalam, memberi jaminan hak orang Melayu tidak akan diabaikan meskipun individu bukan beragama Islam dilantik sebagai peguam negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

ANWAR Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong malam ini bagi menyelesaikan kebuntuan berhubung pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Anwar yang sudah mengadap tujuh sultan, termasuk Sultan Johor untuk kali kedua pada malam semalam, memberi jaminan hak orang Melayu tidak akan diabaikan meskipun individu bukan beragama Islam dilantik sebagai peguam negara.

“Tugas saya sebagai orang awam dengan sedikit pengaruh adalah untuk membincangkan (dengan Raja-raja Melayu) dan menyakinkan baginda. Apa yang saya sampaikan kepada baginda adalah: Dalam tempoh 60 tahun, keluarga diraja bekerjasama dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang situasi sudah berubah. Tetapi Perlembagaan tidak berubah. Status Raja-raja Melayu tidak berubah. Hal (seperti pelantikan peguam negara) boleh dibincangkan difahami,” kata Anwar kepada The Malaysian Insight.

Majli Raja-Raja akan memutuskan mengenai pelantikan Thomas, seorang peguam kanan berpengalaman berketurunan India dan beragama Kristian, dalam mesyuarat esok.

Anwar berkata pemilihan Thomas sebagai peguam negara oleh Dr Mahathir Mohamad harus dihormati kerana kuasa prerogatif perdana menteri. 

“Keutamaan kerajaan adalah untuk menjalankan tugas dengan baik. Ia adalah prerogatif perdana menteri dalam sistem demokrasi yang mesti dipatuhi,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar, yang sudah dua kali mengadap Sultan Perak Raja Nazrin Shah dan Sultan Johor Ibrahim Iskandar berhubung perkara itu, berkata kelewatan dalam melantik Thomas itu amat difahami.

“Kita harus patuh kepada Perlembagaan. Bagaimanapun Raja-raja Melayu memberikan pandangan yang wajar. Tidak ada salahnya kita bincang dan akhirnya putuskan dengan baik.

“Kita tahu akhirnya keputusan perdana menteri yang menentukannya dalam sistem demokrasi berpelembagaan,” katanya.

“Agong boleh berikan pandangan dan peringatan serta menangguh sedikit agar hasrat dan mesej untuk menjaga Islam dan adat istiadat Melayu itu sampai kepada kerajaan.”

Anwar mengakui terdapat kebimbangan yang seorang peguam negara bukan Islam tidak boleh menasihati Raja-raja Melayu dalam hal Syariah.

“Ada yang berkata, selepas pertemuan saya dengan tujuh Raja-raja Melayu, yang baginda mahukan jaminan Syariah dan hal ehwal Melayu tidak digugat tetapi diambil kira.

“Saya tidak jangka situasi ini akan perpanjangan, atau bertukar menjadi satu krisis.

“Pandangan orang bandar, yang mana lebih liberal, mungkin berbeza. Orang luar bandar dan Melayu mungkin fikir berbeza. Menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk mengambil kira semua pandangan ini.” – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen