PELANTIKAN Peguam Negara harus disempurnakan secara cermat, dengan mengambil kira segala sudut bagi memastikan wawasan menjayakan reformasi institusi dan menegakkan kedaulatan undang-undang oleh kerajaan Malaysia di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, dapat dimanifestasikan.
Justeru, tatkala komitmen membawa agenda perubahan tidak harus sama sekali dikompromikan, keserasian matlamat semua tunggak utama dalam sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia harus dijalinkan dengan baik, khususnya antara badan eksekutif dan Yang Di Pertuan Agong (YDPA).
Ini termasuk menghormati prerogatif baginda untuk bertindak dan mengemukakan pandangan mengikut saluran yang dibenarkan dan diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mencapai keputusan bersama – demi kepentingan rakyat.
Merujuk Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan Peguam Negara, ia seharusnya difahami sebagai peranan baginda untuk turut sama terlibat dalam memberikan pandangan terhadap nasihat mahupun cadangan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam proses melantik seorang Peguam Negara.
Maka, inisiatif Majlis Raja-Raja Melayu untuk mengadakan perbincangan khas bagi membantu menyelesaikan polemik ini, seperti yang dinyatakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, adalah satu perkembangan yang amat baik dan harus dihormati ke arah menyelesaikan polemik yang semakin berpanjangan ini.
Selain itu, memandangkan Peguam Negara adalah ketua bagi jabatan rasmi undang-undang negara, pengalaman luas dalam mengurus jabatan turut sama penting bagi memastikan kelancaran operasi dan pentadbiran Jabatan tersebut dalam meniti era reformasi institusi di bawah kerajaan baharu.
Tanpa menafikan kelayakan peguam Tommy Thomas untuk mengisi jawatan Peguam Negara, cadangan Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan peguambela dan peguamcara yang cukup dihormati dalam komuniti perundangan agar Hakim Mahkamah Rayuan, Idrus Harun dilantik ke posisi tersebut mempunyai merit dan amat wajar diberi keutamaan.
Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Idrus menepati kriteria dalam Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu layak untuk menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga sebelum ini merupakan Peguamcara Negara yang sudah memahami selok-belok dan tuntutan tugasan di Jabatan Peguam Negara, jabatan di mana beliau memulakan perkhidmatannya dalam bidang Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1980.
Dengan segala pengalaman dan pendedahan bidang perundangan yang beliau ceburi sepanjang kariernya, maka adalah sesuatu yang tidak menghairankan nama beliau disebut-sebut oleh Gopal sebagai calon yang paling layak.
Dalam perkembangan berkaitan, ABIM sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk melakukan reformasi ke atas institusi perundangan negara termasuk dengan memisahkan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti yang dinyatakan dalam Manifesto kerajaan Pakatan Harapan bagi melunaskan harapan agar integriti institusi tersebut yang tercemar dan diragui di mata rakyat sebelum ini dapat dipulihkan segera.
ABIM juga menegaskan bahawa pelantikan seseorang Peguam Negara perlu menekankan merit seseorang calon dalam pengetahuan undang-undang yang luas yang meliputi pentadbiran undang-undang jenayah, sivil, syariah, dan Perlembagaan Persekutuan sendiri serta pengalaman dalam bentuk amalan guaman, bukan berasaskan bangsa atau agama.
Ini pastinya penting kerana ia akan membabitkan tugasan yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain adalah menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.
Sesungguhnya rakyat amat prihatin dengan perkembangan yang sedang berlaku. ABIM, bersama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara ini dan mahukan keadilan undang-undang di Malaysia kembali didaulatkan berhadap agar polemik pelantikan Peguam Negara ini dapat diselesaikan dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan menepati semangat Perlembagaan Persekutuan.
*Mohamad Raimi Abdul Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen