PM Thailand tolak kemungkinan buat rombakan kabinet 


Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha berkata rombakan Kabinet tidak perlu dilakukan kerana perkara itu masih dalam proses undang-undang.– Gambar EPA, 4 Jun, 2018.

PERDANA Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha menolak kemungkinan akan melakukan rombakan Kabinet selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati Menteri Luar Don Pramudwinai melanggar peraturan berkaitan had pemegangan saham.

Beliau berkata rombakan Kabinet tidak perlu dilakukan kerana perkara itu masih dalam proses undang-undang.

“Tak perlu (membuat rombakan Kabinet). Mengapa kami perlu buat rombakan, kamu daripada media boleh melakukannya sendiri. Saya tidak akan buat rombakan,” katanya kepada media ketika ditemui di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

Hasil siasatan, suruhanjaya berkenaan mendapati anggota Kabinet kanan Prayut itu melanggar Seksyen 187 Piagam Perlembagaan 2017, yang melarang seseorang menteri dan pasangannya daripada memegang lebih lima peratus saham dalam mana-mana syarikat.

Menurut laporan, saham dimaksudkan dipegang isteri Don, Narirat Pramudwinai.

Perkara itu kini dikendalikan Mahkamah Perlembagaan selepas satu petisyen dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sementara itu, Don, 68, dalam kenyataan dikeluarkan kementeriannya hari ini berkata beliau hanya melihat laporan akhbar berdasarkan dengar cakap itu, tetapi belum menerima sebarang pemberitahuan  secara bertulis daripada Suruhanjaya Pilihan Raya tentang perkara berkenaan.

Menurut Don, beliau akan menjelaskan perkara sebenar apabila diminta berbuat demikian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau berkata pemegangan saham yang disebut itu adalah berkaitan saham yang diterima Narirat daripada bapanya sebagai pusaka kira-kira 37 tahun  lepas.

“Ia bukan saham konsesi, tetapi saham yang dipegang dalam kalangan keluarga dan tidak tersenarai di Bursa Saham Thailand,” katanya.

Beliau berkata pemegang saham berkenaan terdiri daripada enam hingga tujuh saudara mara isterinya dan saham itu tidak pernah disentuh.

Don berkata, sejak menganggotai Kabinet, beliau mengemukakan laporan pemegangan saham kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) sekurang-kurangnya empat kali seperti tempoh ditetapkan. – Bernama, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen