TINDAKAN undang-undang yang diambil Petronas bagi meminta Mahkamah Persekutuan membuat pengisytiharan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) menunjukkan betapa terdesak untuk bergantung kepada sumber minyak dan gas negeri, kata aktivis Lina Soo.
“Mereka perlu sedar, mereka tiada kuasa ke atas minyak dan gas kami, jadi mereka gunakan Mahkamah Persekutuan untuk tutup mulut kami,” kata Soo yang juga presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) sebagai maklum balas berhubung syarikat petroleum negara yang meminta Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan yang ia adalah pemilik ekslusif sumber petroleum di Malaysia, termasuk di Sarawak.
Soo berkata tindakan undang-undang Petronas itu mencerminkan era pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (ketika menjadi PM dari 1981 hingga 2003) yang tidak bersetuju dengan tuntutan Sabah dan Sarawak untuk hak yang lebih besar sumber minyak dan gas.
“Mereka hanya mahu elakkan membayar 20% royalti (janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya) da mereka akan buat apa sahaja untuk tidak membayarnya.”
Soo berkata, rakyat Sarawak tidak perlu terkejut sekiranya kerajaan baharu H akan gunakan hutang RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar royalti yang ditingkatkan itu.
Dua negeri di Borneo itu kini hanya mendapat 5% royalti.
Pada Mac, ketua menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata PDA dan undang-undang kontroversi yang sama, Akta Laut Wilayah (TSA) 2012, adalah tidak relevan di Sarawak.
Katanya, memandangkan kedua-duanya adalah undang-undang persekutuan, dan bagi mana-mana undang-undang persekutuan yang dilaksanakan di negeri, ia perlu kelulusan sidang Dewan Undangan Negeri.
Baik PDA mahupun TSA tidak didahkan oleh sidang DUN.
“Mana-mana undang-undang yang Ultra Vires di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah,” katanya.
Sarawak turut mengingatkan kepada semua syarikat dalam industri minyak dan gas di negeri itu dan syarikat yang mahu menjalankan kerja-kerja prospek dan perlombongan perlu memiliki lesen, permit dan kelulusan yang diperlukan sama ada di bawah Ordinan Minyak dan Pelombongan dari 1 Julai.
Syarikat minyak negeri yang baru ditubuhkan, Petros, juga mengambil alih kuasa pengawalseliaan sepenuhnya terhadap aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri ini dari Petronas bermula 1 Julai.
Kerajaan negeri belum memberi maklum balas terhadap tindakan Petronas dan jurucakap rasmi kerajaan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol, berkata ketua menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini “tidak lama lagi”. – 4 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Shahas Areball · Ulasan