Raja Jordan arah PM mengadap berhubung demo anti-kerajaan


Demonstrasi berlangsung di ibu kota Jordan dan beberapa bandar lain sejak Rabu bagi menentang sebuah draf undang-undang cukai pendapatan dan kenaikan harga minyak seperti yang disyorkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). – Gambar AFP, 4 Jun, 2018.

RAJA Jordan Raja Abdullah memanggil perdana menteri untuk mengadap berhubung protes mengenai langkah berjimat cermat, kata sumber kerajaan pada Isnin.

Raja Abdullah dijangka mengarahkan perdana menteri itu meletak jawatan dalam pertemuan tersebut. 

Demonstrasi berlangsung di ibu kota Jordan dan beberapa bandar lain sejak Rabu bagi menentang sebuah draf undang-undang cukai pendapatan dan kenaikan harga minyak seperti yang disyorkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pembantah mendesak Perdana Menteri Hani Mulki supaya meletakkan jawatan, sambil berjanji yang mereka tidak akan tunduk.

“Raja Abdullah sudah memanggil perdana menteri untuk mengadap sebelum tengahari Isnin yang mungkin akan membawa kepada peletakan jawatan beliau,” kata sumber kerajaan yang tidak mahu dikenali.

Arahan itu dibuat selepas beberapa jam setelah sekitar 5,000 orang berkumpul di hadapan pejabat Mulki di Amman, pada hari kelima berturut-turut demonstrasi di ibu kota Jordan dan bandar-bandar lain.  

“Oh Mulki dengarkan, rakyat Jordan tidak akan sama sekali tunduk,” sorak mereka.

Beberapa pembantah turut dilihat mengangkat sepanduk berbunyi: “Kami akan teruskan (protes) sehingga kerajaan letak jawatan”.

Jordan, yang sebahagian besar diliputi padang pasir dan mempunyai sedikit sumber, menyaksikan kenaikkan harga beberapa barangan asas dan perkhidmatan seperti roti, minyak petrol dan elektrik sejak tahun lalu. – AFP, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen