Hadi jumpa Dr Mahathir di Putrajaya


Zulkifli Sulong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berjumpa di Putrajaya hari ini, membincangkan antara lain isu royalti minyak. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2018.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang bersama Menteri Besar Terengganu Ahmad Shamsuri Mokhtar menemui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putarajaya hari ini.

Turut serta dalam pertemuan selama 50 minit bermula jam 10 pagi itu adalah bekas Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali yang bertindak sebagai penghubung antara mereka.

“Pertemuan berjalan dengan sangat baik. Ia adalah pertemuan rasmi antara dua kerajaan iaitu kerajaan negeri Terengganu dengan Kerajaan Pusat,” kata Mustafa ketika mengesahkan pertemuan itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga mengesahkan antara perkara yang dibincangkan selain merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dengan pusat adalah isu royalti minyak.

“Pengumuman mengenainya rasanya perlu dibuat oleh menteri besar tetapi ia adalah satu berita yang baik,” kata Mustafa.

Beliau juga yakin, pertemuan ini juga akan meredakan ketegangan antara Dr Mahathir dan Hadi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Hadi turut turun ke Langkawi untuk berkempen bagi calon PAS melawan Dr Mahathir di Parlimen Langkawi pada PRU14.

Dalam facebooknya, Dr Mahathir memuat naik gambar kunjungan Hadi dan rakan-rakannya hari ini.

“Saya berbesar hati menerima kunjungan YAB Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Datuk Mustafa Ali di pejabat saya pagi tadi,” tulis Mahathir. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen