SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh apabila gunung berapi Guego di Guatemala meletus pada Ahad, mengeluarkan debu dan batu sehingga menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup.
Letusan kuat itu kedua terbesar tahun ini. Mangsa terdiri daripada masyarakat ladang di selatan gunung berapi yang terperangkap dalam aliran lava panas, kata jurucakap Agensi Bantuan Bencana Negara, David de Leon kepada media.
Kira-kira 20 mangsa lain cedera dan lebih 2,000 lagi dipindahkan ke kawasan berhampiran dan beberapa bandar termasuk Antigua. Bandar era kolonial Sepanyol itu menjadi antara kawasan tumpuan pelancongan utama di Guatemala.
Petani yang diselaputi debu lari menyelamatkan diri dan kakitangan pertahanan awam cuba untuk memindahkan mereka ke pusat perlindungan.
Debu yang keluar dari letusan gunung berapi itu – naik setinggi 3,763 meter (12,346 kaki) – turut menyebabkan lapangan terbang antarabangsa Guatemala City ditutup.
Pekerja sedang membersihkan debu daripada landasan bagi membolehkan lapangan terbang beroperasi semula.
Guatemala mempunyai dua gunung berapi aktif iaitu Santiaguito (barat) dan Pacaya (di selatan ibu kota). – AFP, 4 Jun, 2018.
Komen