Bank terbesar Australia didenda lebih RM2 bilion kerana penggubahan wang haram


Pihak berkuasa Australia mendenda Commonwealth Bank RM2.1 bilion kerana melanggar undang-undang berkaitan penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, denda tertinggi dalam sejarah industri kewangan negara itu. – Gambar AFP, 4 Jun, 2018.

COMMONWEALTH Bank Australia (CBA) hari ini bersetuju dengan penalti sivil terbesar dalam sejarah korporat Australia bagi menyelesaikan dakwaan ia melanggar undang-undang penggubahan wang haram dan pembiayaan anti keganasan.

Denda AUS$700 juta (RM2.1 bilion) itu- yang menunggu kelulusan mahkamah- dipersetujui selepas timbang tara antara bank terbesar Australia itu dengan agensi perisikan kewangan negara, Austrac.

Ia susulan bank itu diheret ke mahkamah Ogos lalu kerana “ketidakpatuhan berterusan dan serius” undang-undang anti penggubahan wang haram yang dilakukan lebih 53,000 kali, Austrac memfailkan tambahan 1,000 dakwaan pada Disember.

CBA juga dituduh gagal melakukan pemantauan secukupnya ke atas pembiaya kewangan pengganas.

“Walaupun tidak disengajakan, kami mengakui keseriusan kesilapan yang kami buat,” kata Ketua Eksekutif CBA Matt Comyn dalam satu kenyataan.

“Persetujuan kami hari ini adalah pengakuan sepenuhnya tentang kegagalan kami dan langkah penting untuk bank. Bagi pihak Commonwealth Bank, saya meminta maaf kepada masyarakat kerana menghampakan mereka.”

Bank itu yang menggantikan kepimpinan kanannya kerana kontroversi itu dan menyuntuk berjuta dolar bagi meningkatkan sistemnya juga bersetuju untuk membayar yuran guaman sebanyak AUS$ 2.5 juta kepada Austrac.

Skandal itu adalah yang terbaru mencemarkan reputasi bank di Australia, yang semakin hebat disiasat kerana dakwaan nasihat kewangan yang meragukan, penipuan insuran nyawa dan pajakan serta kadar faedah yang sengaja dinaikkan.

Minggu lepas, ANZ Bank dituduh melakukan “urus niaga kartel” berkaitan pembiayaan kapital berbilion dolar bersama-sama penasihatnya, Deutsche Bank dan Citigroup. Kes itu sedang menanti pertuduhan jenayah.

Skandal itu menyebabkan kerajaan melancarkan suruhanjaya diraja awal tahun ini untuk menyiasat salah urus industri kewangan.

Denda ke atas CBA besar berbanding jangkaan bank yang melaporkan keuntungan setahun tahun pada Februari lalu dan sudah memperuntukkan AUS$375 juta untuk membayar denda.

CBA, syarikat Australia terbesar tahun lepas mengakui lambat menghantar 53,506 laporan kepada Austrac kerana transaksi tunai AUS$10,000 atau lebih di ATM, menyalah “kesalahan berkaitan sistem”.

Ia juga gagal melaporkan 149 transaksi meragukan dan melanggar syarat melakukan pemeriksaan ke atas 80 pelanggan mencurigakan. – AFP, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen