Penyerang gereja ditembak di Berlin


Serangan itu berlaku di Berlin Cathedral, salah sebuah gereja terkenal di Jerman. Polis mengatakan ia bukan serangan pengganas. – Gambar AFP, 4 Jun, 2018.

POLIS menembak seorang lelaki sehingga cedera selepas dia melakukan serangan pisau di sebuah gereja utama di Berlin semalam, tetapi polis mengatakan kejadian itu tidak berunsur “keganasan”.

Lelaki bersenjata pisau berusia 53 tahun warga Austria itu “menjerit dan merosakkan” sebelum ditembak di kaki sekitar jam 4:00 pm (1400 GMT), kata polis dalam satu kenyataan.

Ketika kejadian, hampir 100 orang diselamatkan dari Berlin Cathedral di ibu kota Jerman itu.

Apabila polis sampai dan mendesak lelaki itu menyerah diri, tetapi gagal, kata polis lagi.

Akhirnya mereka berjaya mengepung lelaki itu di kawasan altar dan “lelaki itu cedera ditembak di kaki oleh polis,” kata jurucakap.

Lelaki itu dikejarkan di hospital dan menjalani pembedahan, katanya lagi.

Seorang anggota polis juga cedera kerana peluru sesat tetapi dibenarkan keluar hospital.

Saksi memberitahu media yang lelaki itu kelihatan “sangat keliru”.

“Berdasarkan apa yang kami tahu setakat ini, kami tiada maklumat suspek dalam apa cara sekalipun ada motif pengganas Islam,” kata jurucakap polis.

Wartawan AFP melaporkan pintu masuk ke gereja sudah ditutup polis dan beberapa anggota polis kelihatan mengawal kawasan itu.

Agensi berita DPA melaporkan beberapa saksi sudah diberikan rawatan kaunseling.

Kejadian terbaru itu menjadi tumpuan kerana pihak berkuasa masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa serangan didakwa dilakukan pengganas Islam berlaku. – AFP, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen