Komen Daim petanda untuk gabenor Bank Negara


The Malaysian Insight

Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim berulang kali mengatakan urus niaga jual beli tanah bernilai RM2 bilion dilakukan bank pusat dengan kerajaan adalah tulus. Tetapi, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berpandangan sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

GABENOR Bank Negara Muhammad Ibrahim sepatutnya gementar. Sangat-sangat gementar.

Sebabnya: komen Daim Zainuddin jelas membayangkan kerajaan baru Pakatan Harapan percaya ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan keputusan bank pusat itu membayar RM2 bilion untuk sebidang tanah milik kerajaan.

Urus niaga yang diselesaikan tergesa-gesa itu adalah untuk membantu pentadbiran Najib melangsaikan hutang yang ditanggung oleh 1MDB.

Dalam satu wawancara dengan Straits Times, Daim berkata: “Ada alasan untuk mempersoalkan bagaimana cepat, rapi dan apa sebabnya urus niaga itu dibuat.”

“Pembelian tanah itu contoh yang baik kenapa kebebasan BNM, proses urus tadbir dan pelantikan ketua institusi yang kritikal sangat mustahak bagi pentadbiran sekarang.”

Kata-kata Daim itu bersengat, dan petanda suatu alamat.

Bukan saja Daim adalah pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan tetapi lebih penting lagi, seperti yang disebut akhbar Singapura, beliau duduk dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama dua jam selepas makan malam, hampir setiap hari. Mereka duduk berbincang tentang pelbagai masalah dan cabaran yang diwarisi daripada pentadbiran Najib.

Pertemuan itu selalunya berakhir dengan pesan Dr Mahathir kepada Daim untuk “selesaikan itu dan ini”.

Lama-kelamaan, semakin jelas pada Daim dan yang lain-lain dalam kelompok terdekat Dr Mahathir bahawa satu-satunya jalan penyelesaian ialah dengan mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam salah guna dana awam dan urus niaga yang mencurigakan.

Hanya dengan berbuat demikian, mereka yakin kerajaan baru ini akan dapat menanam rasa takut untuk menyeleweng pada pegawai kerajaan di semua peringkat.

Muhammad Ibrahim mempertahankan dalam beberapa kenyataan medianya bahawa pembelian tanah RM2 bilion itu menguntungkan.

“Ia dibeli pada harga pasaran dan menguntungkan,” katanya.

Urus niaga yang menguntungkan ialah apabila kedua-dua pembeli dan penjual bertindak atas kepentingan masing-masing dan bukannya dipaksa oleh mana-mana pihak.

Masalah dengan Gabenor BNM ini ialah senang untuk mengeluarkan kenyataan media.

Tetapi lain pula pandangan Daim dan Majlis Penasihat Kerajaan, terutamanya apabila bekas menteri kewangan itu berkata ada sebab untuk mempersoalkan bagaimana cepat, rapi dan apa sebabnya urus niaga itu dibuat.

Muhammad Ibrahim wajar rasa gementar. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Eloklah pihak berkuasa jalankan siasatan terlebih dahulu sebelum kita buat sebarang andaian. Tidak mahu khabar angin beredar dalam kalangan masyarakat secara tidak terkawal.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan