Ribut pelantikan Thomas sepatutnya tak berlaku, kata peguam


Kamles Kumar

Tugas peguam negara adalah untuk menasihati kerajaan. Dalam usaha Malaysia memulihkan institusi negara, tugas peguam negara apatah lagi seorang yang berkemahiran tinggi seperti Tommy Thomas sangat diperlukan. – Gambar EPA, 4 Jun, 2018.

MALAYSIA pernah mempunyai peguam negara bukan Melayu-Islam sebelum ini, menjadikan ribut yang sedang berlaku kini sebenarnya tak perlu, kata peguam ketika kemelut cadangan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara semakin hangat dibincangkan.

Pakar undang-undang perundangan di Universiti Malaya, Dr Gurdial Singh Nijar berkata dua peguam negara bukan Melayu-Islam yang paling dikenali sebelum ini ialah Cecil M. Sheridan dan Athi Nahappan dilantik Yang di-Pertuan Agong tanpa ada masalah.

“Ikutkan sejarah, sepatutnya tidak perlu wujud bantahan. Pernah berlaku sebelum ini. Kekeliruan tak patut wujud sekarang,” kata Gurdial kepada The Malaysian Insight.

Antara peguam negara bukan Melayu-Islam terdahulu ialah Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959), Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974).

Tetapi sejak 1977, semua tujuh peguam negara ialah Melayu-Islam.

Gurdial juga menegaskan yang kelulusan Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan peguam negara hanyalah formaliti terpulang kepada kerajaan pemerintah untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka selesa ke dalam jawatan tersebut.

“Peguam negara adalah peguam untuk kerajaan. Kerajaan perlu selesa dengan peguam tersebut untuk menerima apa sahaja nasihat yang beliau berikan,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan Putrajaya tidak akan menghantar nama tambahan untuk jawatan peguam negara, menambah yang keputusan kerajaan melantik Thomas sebagai peguam negara yang baru dibuat berlandaskan undang-undang.

Bagaimanapun, difahamkan yang Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang lain mahukan seorang peguam negara berketurunan Melayu beragama IIslam. Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur esok bagi membincangkan hal ini.

Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad kini dalam situasi tarik tali dengan Majlis Raja-Raja apabila calon pilihan mereka untuk jawatan peguam negara, Tommy Thomas tidak diterima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen pula mengatakan peguam negara pertama dan kedua Malaysia bukan orang Melayu, jadi beliau tidak nampak alasan mengapa Thomas tidak boleh dilantik.

“Satu-satunya syarat kelayakan calon adalah dia mesti hakim Mahkamah Persekutuan yang sah, dan tidak ada syarat yang dia perlu orang Melayu-Islam jika benar perkara itu yang jadi ukuran.

“Malah, peguam negara pertama dan kedua negara bukan orang Melayu-Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Paulsen menambah yang peguam negara tidak perlu secara perundangan terlibat dalam prosiding Syariah dan hanya boleh menasihati kerajaan atau Agong mengenainya.

“Peguam negara adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dalam perkara penting menyentuh undang-undang dan Perlembagaan. Kerana itu kaum atau agamnya sepatutnya tidak perlu jadi syarat.

“Tambahan pula, peguam negara mengikut Perlembagaan dilarang daripada terlibat dalam prosiding Syariah,” katanya.

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdullah mengatakan individu yang dilantik sebagai peguam negara perlu memenuhi tiga kriteria: perlu menasihati kerajaan dalam setiap isu perundangan termasuk isu Syariah, membantu kerajaan dalam perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan bertindak sebagai pendakwaraya.

“Calon tidak penting tetapi kriteria ini yang penting (perlu dipenuhi),” katanya.

The Malaysian Insight melaporkan yang Putrajaya sudah menulis kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Peguam Negara sekarang, Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan Thomas, yang merupakan pilihan sebulat suara kerajaan Pakatan Harapan.

Keempat-empat parti dalam PH-Amanah, Bersatu, DAP dan PKR- merasakan pelantikan tokoh dihormati dalam dunia perundangan akan memberi petanda jelas kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang kerajaan baru serius dalam reformasi institusi negara.

Pelantikan itu juga bagi memastikan kehadiran peguam dalam Jabatan Peguam Negara yang berupaya mengendalikan kes berprofil tinggi termasuklah pendakwaan mereka yang terlibat dalam skandal dana pelaburan sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen