Rodrigo Duterte mohon maaf kerana 'celupar'


Presiden Filipina Rodrigo Duterte akui 'keceluparannya' disebabkan beliau terlalu emosi. – Gambar EPA, 3 Jun, 2018.

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte memohon maaf kepada Kuwait pada Ahad berikutan kata-kata “kesat” kepada negara itu berhubung layanan terhadap pekerja domestik. 

Pertikaian itu bermula pada Februari apabila pembantu rumah Filipina ditemui mati dalam peti sejuk di rumah majikannya di negara teluk itu, menyebabkan Duterte menyelar layanan “tidak berperikemanusiaan” terhadap pekerja migran dan menyekat pekerja Filipina daripada bekerja di Kuwait. 

“Buat kali pertama saya ingin katakan saya terlalu kasar dalam berbahasa disebabkan terlalu emosi. Tetapi sekarang saya ingin memohon maaf,” kata Duterte.

“Saya memohon maaf kerana menggunakan kata-kata kesat tetapi saya berpuas hati…bagaimana kamu memberi maklum balas terhadap masalah negara saya.”

Pihak berkuasa Manila berkata sekitar 262,000 pekerja Filipina bekerja di Kuwait sebelum Februari, yang kebanyakannya adalah pembantu rumah. 

Mereka merupakan antara jutaan pekerja Filipina di wilayah itu, yang menjana pendapatan kepada ekonomi Filipina. 

Pada kemuncak ketegangan diplomatik, Duterte mendakwa majikan Arab secara rutin merogol pekerja Filipina, memaksa mereka bekerja 21 jam sehari dan memberi mereka makan sampah. 

“Adakah terdapat masalah dengan budaya kamu? Adakah terdapat masalah dengan nilai kamu,” kata pemimpin Filipina itu. 

Pihak berkuasa Kuwait mengusir utusan Manila pada bulan April atas rakaman yang menunjukkan kakitangan kedutaan membantu pekerja Filipina melarikan diri dari majikan yang dikatakan mendera pekerja di Kuwait.

Ketegangan bagaimanapun reda bulan lalu apabila dua negara itu memeterai perjanjian berhubung jaminan keselamatan pekerja Filipina di Kuwait, menyebabkan Duterte membatalkan sekatan pekerjaan ke negara itu. 

Pada Ahad, Duterte menyatakan harapannya untuk melawat Kuwait sebagai penghargaannya. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kuwait yang memahami dan memberi kepercayaan kepada kami dan sedia menerima semua permintaan saya,” kata Duterte. – AFP, 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen