Surat terbuka kepada Pemuda Umno


YB Khairy Jamaluddin dan saya mungkin mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan tetapi ketika beliau membentangkan Dasar Belia Malaysia, saya sendiri rasa amat teruja.

Idea untuk menetapkan had umur belia kepada 30 tahun adalah satu idea besar bagi memastikan aliran pemimpin-pemimpin belia boleh memberikan idea-idea yang segar untuk melengkapkan pembinaan negara kita.

Namun hari ini, calon-calon baru Umno untuk pemimpin Pemuda mereka adalah masing-masing berusia 42 tahun. Asyraf Wajdi dan Khairul Azwan yang mana secara peribadinya saya amat menghormati mereka. Akan tetapi, calon-calon ini tidak memenuhi definisi belia yang dibentangkan.

Situasi diburukkan lagi apabila Jamal Yunos, seorang individu yang menyalahi undang-undang dan tidak menyerahkan diri kepada pihak berkuasa, juga mencalonkan diri untuk merebut ketua Pemuda Umno, yang juga berusia 48 tahun.

Secara langsung, adalah terpesong daripada apa yang dijanjikan YB Khairy pada 2015 dan sekarang Dasar Belia Malaysia dilihat sebagai polisi populis hanya untuk menarik undi belia.

Ini memalukan. Pemuda Umno sejak dulu adalah tapak untuk orang baru dan yang melonjak naik untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin akan datang yang boleh negara harapkan.

Hishamuddin Hussein berusia 38 tahun ketika beliau memegang posisi ketua Pemuda Umno sebelum Khairy mengambil tempat itu ketika beliau berusia 33 tahun. Terdapat trend yang ketara dan saya percaya trend memilih calon yang memenuhi kriteria definisi belia perlu sentiasa berterusan.

Saya percaya dalam usaha untuk mereformasi Umno, mereka perlu untuk menunjukkan dedikasi kepada belia. Keperluan untuk mengangkat dasar yang Khairy sendiri gagaskan adalah satu kemestian.

Cadangan ini bukan saja akan memberikan impak kepada Umno tetapi idea yang sama ini juga turut akan memberi gelombang kepada parti lain bagi mewujudkan satu gerakan persaingan sihat termasuklah, dan juga menarik bakat muda dan cerah dan memberikan kedudukan pimpinan tertinggi kepada parti mereka.

Pada saat Pakatan Harapan melalui parti-parti komponen bersaing untuk meletakkan calon muda (dan juga berbakat), Umno masih terperangkap dalam masa silam dan masih berpegang kepada individu yang berusia untuk bersaing jawatan ketua Pemuda.

Boleh difahami bahawa meletakkan calon di bawah usia 30 tahun adalah sukar, tetapi melakukan pemilihan dengan calon di bawah usia 40 tahun permulaan yang baik. Saya percaya Umno mempunyai jumlah calon berkualiti yang besar dan boleh disokong di bawah usia 40 tahun.

Kita perlukan reformasi sebenar kepada negara kita untuk mempunyai pihak lawan yang kuat dan kita harus mulakan dari sekarang. – 3 Jun, 2018.

* Syed Saddiq ialah ahli Parlimen Muar dan ketua sayap Pemuda Bersatu.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen