Jumpa Raja Melayu jelaskan soal DAP, kata Anwar


Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar selepas dibebaskan dari penjara. – Gambar Facebook, 3 Jun, 2018.

ANWAR Ibrahim berkata beliau menggunakan kesempatan dapat mengadap Raja-raja Melayu dan kerabat diraja untuk menjelaskan bahawa salah sebenarnya tuduhan liar kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak hormat pada institusi raja-raja itu.

Semasa mengadap mereka, ketua umum PKR itu berkata beliau menjelaskan bahawa PH bukannya didalangi oleh DAP, seperti yang didakwa dalam naratif Barisan Nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Semasa kempen PRU14, Umno menggunakan DAP sebagai momok untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada memilih PH dengan dakwaan pakatan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad itu sebenarnya ditunggang oleh Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain.

“Sikap saya ketika bertemu dengan mereka juga jelas iaitu menolong menjelaskan dasar kerajaan Pakatan Harapan kepada baginda… jangan bimbang kerajaan ini bukan di bawah telunjuk DAP atau berusaha menghakis lagi kuasa raja-raja.

“Kedudukan raja berperlembagaan tidak akan kurang kuasanya, itu yang saya jelaskan,” kata Anwar dalam satu majlis di markas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang, malam tadi.

Sejak keluar penjara dengan pengampunan penuh Seri Paduka seminggu selepas PRU14, Anwar mengadap setakat ini empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.

Kunjungannya itu mencetuskan khabar angin kononnya beliau membelakangkan Dr Mahathir dan sengaja mendekati istana yang diketahui ada hubungan pasang surut dengan perdana menteri.

“Saya nak tegaskan, tidak ada perbincangan sebegitu (untuk menggugat kedudukan Dr Mahathir) dengan raja-raja,” katanya.

Anwar berkata kunjungan beliau mengadap Raja-raja Melayu dan kerabat diraja itu adalah atas jemputan istana dan tidak harus disalah tafsir malah difitnah sebagai langkah politik untuk menggugat Dr Mahathir.

Katanya, sebagai anak Melayu dan anak Malaysia, yang faham tentang kedudukan kerajaan raja berperlembagaan, beliau harus memenuhi jemputan itu, terutama selepas dibebaskan dari penjara dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar berkata pertemuan yang pertama beliau buat adalah dengan Yang di-Pertuan Agong apabila beliau dititahkan menghadap baginda, 10 minit sebelum mesyuarat Majlis Pengampunan bermula pada 16 Mei lalu, hampir seminggu selepas PRU14.

“Jam 11 pagi mula mesyuarat, jam 10.50 pagi saya sudah terima perintah menghadap segera.

“Masa itu saya masih di hospital,” kata Anwar mengimbas detik-detik pembebasannya dan bagaimana beliau boleh mengadap Yang di-Pertuan Agong pada hari itu.

Selepas bebas, Anwar berkata beliau terus menerima perintah mengadap dari Sultan Johor.

“Baginda kata, ada hal penting hendak bincang. Tuanku hantar kapal terbang, nasib baik bukan kapal TUDM,” kata Anwar berseloroh.

Dalam pertemuan selama dua jam yang turut disertai anaknya, Nurul Izzah, Anwar berkata mereka berbincang pelbagai perkara, yang katanya banyak membantu PH sendiri.

“Pertama, isu kedudukan raja berperlembagaan. Adakah ia hendak dihakis. Saya tegaskan semua parti dalam Pakatan sudah ada kata sepakat mempertahankan kedudukan raja berperlembagaan.

“Kedua baginda tanya, kenapa saya sokong Dr Mahathir. Saya kata dia berjasa, dia ada sumbangannya dan saya masa itu dalam penjara dan tidak bertanding.

“Perubahan pula harus aman. Kita mesti yakinkan rakyat bahawa kita bersatu dalam muafakat ini dan membolehkan Dr Mahathir dan Kabinet membuat keputusan-keputusan yang berani dan tegas.

“Umpamanya menyiasat bekas perdana menteri Najib bukannya mudah. Dananya besar, pengaruhnya masih ada di kalangan pegawai kerajaan dan pegawai keselamatan,” kata Anwar.

Anwar berkata selepas Sultan Johor, beliau berkunjung mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

“Pertemuan dengan Sultan Selangor sangat baik dan menggembirakan saya. Saya tegaskan kepada baginda, kita akan pastikan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu kekal dan saya akan bantu hal ini dalam pentadbiran Dr Mahathir,” katanya. – 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen