Ikan paus mati telan 80 beg plastik


Seekor ikan paus mati di selatan Thailand selepas makan lebih 80 beg plastik. – Gambar AFP, 3 Jun, 2018.

SEEKOR ikan paus mati di selatan Thailand selepas makan lebih 80 beg plastik, kata pihak berkuasa yang cuba untuk menghidupkan semula mamalia itu.

Thailand adalah satu daripada pengguna terbesar beg plastik dunia, yang membunuh ratusan haiwan marin yang tinggal berhampiran pantai popular negara itu setiap tahun.

Paus pandu jantan kecil itu menjadi mangsa terbaharu selepas haiwan itu ditemui tenat di sebuah terusan berhampiran sempadan dengan Malaysia, kata Jabatan Sumber Marin dan Laut dalam Facebook mereka semalam.

Pasukan doktor haiwan cuba “menstabilkan mamalia itu namun gagal” tengah hari kelmarin, kata tulisan berkenaan.

Jabatan itu berkata bedah siasat mendedahkan, 80 beg plastik seberat sehingga 8kg ditemui dalam perut mamalia itu.

Gambar bersama tulisan itu menunjukkan kumpulan berkenaan menggunakan boya untuk memastikan paus itu timbul selepas kali pertama dilihat Isnin lalu dan payung untuk melindunginya daripada terik matahari.

Jabatan itu berkata, paus terbabit memuntahkan lima beg plastik ketika cubaan menyelamat sebelum ia mati.

Pakar biologi marin dan pensyarah Universiti Kasetsart, Thon Thamrongnawasawat berkata beg plastik itu menjadikannya sukar buat mamalia terbabit makan sebarang makanan berkhasiat.

Thon berkata sekurang-kurangnya 300 haiwan marin termasuk paus pandu, penyu dan ikan lumba-lumba mati setiap tahun di perairan Thailand selepas makan plastik. – AFP, 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen