Anwar dakwa beliau cuba dilagakan dengan Dr Mahathir


Zulkifli Sulong

Anwar Ibrahim yakin musuhnya dalam politik, termasuk mereka yang memusuhinya sejak lama, sedang berkomplot melaga-lagakan beliau dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.

ANWAR Ibrahim yakin musuhnya dalam politik, termasuk mereka yang memusuhinya sejak lama, sedang berkomplot melaga-lagakan beliau dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka ini sekarang meneliti segala gerak-gerinya dan mentafsirkan setiap langkahnya secara negatif dan penuh dendam kesumat.

Anwar merujuk kunjungannya ke atas Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja sejak dibebaskan dari penjara seminggu selepas pilihan raya umum yang lalu, serta pertemuannya dengan wakil rakyat dan pimpinan PKR minggu depan.

“Ada orang dendam kesumat kepada saya dan cuba lagakan saya dengan Dr Mahathir,” kata Anwar ketika berucap kepada kira-kira 500 penyokong beliau di markas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang, malam tadi.

“Saya ini masih belum boleh mengelak daripada pakatan jahat beberapa kalangan dan sebagainya yang terlibat dengan konspirasi jahat dan fitnah terhadap saya.

“Orang ini muncul balik kerana mungkin mereka anggap saya mungkin akan menentang Dr Mahathir,” katanya.

Anwar sejak keluar penjara selepas pengampunan penuh Seri Paduka mengadap empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.

Anwar berkata pertemuannya dengan Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja itu atas jemputan istana dan beliau menggunakan pertemuan itu sebagai kesempatan untuk merungkaikan salah faham tentang kerajaan Pakatan Harapan (PH), termasuk tuduhan kononnya didalangi DAP.

Tentang pertemuannya dengan wakil rakyat PKR minggu depan, Anwar berkata ia dirancang sudah lama atas permintaan mereka, selepas beliau bebas dari penjara.

Anwar dan Dr Mahathir yang berseteru sejak krisis antara mereka pada akhir 1990-an melupakan kisah silam itu dan menjalin kerjasama politik menjelang PRU14.

Dr Mahathir membawa Bersatu pimpinannya menyertai PH, yang kemudian menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Selepas jadi perdana menteri, Dr Mahathir mengusahakan pengampunan diraja untuk Anwar yang ketika itu menjalani hukuman atas sabitan liwat. Anwar mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong dan dibebaskan enam hari selepas PRU14.

Menurut Anwar, antara perkara awal yang beliau katakan kepada Dr Mahathir setelah itu ialah memberikan sokongan sepenuhnya kepada perdana menteri Malaysia itu.

“Tun, saya di sini mahu menyokong anda. Tun mempunyai ruang yang bebas untuk mentadbir kerajaan ini. Buatlah sebaik mungkin, saya di sini tidak akan menyusahkan anda dan polisi yang hendak dibuat sama ada saya bersetuju atau tidak.

“Saya akan sokong anda untuk melayarkan bahtera negara ini. Saya menyokong penuh anda,” cerita Anwar kepada penyokongnya.

Tetapi, Anwar berkata beliau memberitahu Dr Mahathir, beliau perlu berjumpa dengan orang ramai dan membuat kunjungan hormat kepada Raja-Raja Melayu yang menjemputnya mengadap mereka.

“Saya kata kat dia (Dr Mahathir), saya kena jumpa rakyat. Takkan saya tak jumpa mereka. Sebelum ini, hilang dalam penjara, sudah bebas mahu hilang lagi. Bodohlah saya,” kata Anwar. – 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen