PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte berkata seorang pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “boleh berambus” dari negaranya kerana mengkritik Duterte yang disifatkan mengancam seorang hakim kanan negara berkenaan.
Kata-kata keras Duterte dibuat selepas Wakil PBB mengenai kebebasan hakim dan peguam, Diego Garcia-Sayan, berkata kenyataan presiden Filipina terhadap bekas Ketua Hakim Maria Lourdes Sereno adalah “serangan ganas” ke atas badan kehakiman negaranya.
Rakan profesion Sereno mengundi menyingkirkan beliau daripada jawatan bulan lalu, sejurus selepas Duterte secara terbuka menggelar ketua hakim itu musuhnya dan menuntut beliau segera disingkirkan.
“Beritahu dia (Garcia-Sayan) supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara saya. Dia boleh berambus dari sini. Dia bukan seorang yang ada keistimewaan dan saya tidak iktiraf jawatannya,” kata Duterte kepada wartawan di Manila, menambah beliau tiada kena mengena dengan pemecatan Sereno.
Duterte, 73, beberapa kali membuat kenyataan seperti itu sebelum ini terutamanya terhadap pengkritik kempen anti dadah yang dilancarkannya sebaik berkuasa pada 2016. – AFP, 3 Jun, 2018.
Komen