'Hamil ikut giliran' tambah sengsara wanita bekerja di Jepun


Amalan 'kehamilan berjadual' di kalangan majikan di Jepun menyebabkan wanita di sana tertekan dan sering mengambil keputusan berhenti kerja. – Gambar fail EPA, 3 Jun, 2018.

SAYAKO sedang berusaha untuk hamil anak kedua sejak dua tahun lalu apabila bosnya di pusat jagaan harian Jepun mencadangkan dia berhenti kerana terlepas “giliran”.

Sayako, yang bercakap dengan AFP menggunakan nama samaran, mengetahui bosnya mempunyai dasar tidak bertulis yang pakar sifatkan biasa di Jepun: “Kehamilan berjadual” tidak rasmi untuk pekerja.

“Kenapa awak tidak berehat, awak sudah ada seorang anak,” kata bosnya, walaupun mengetahui Sayako begitu ingin hamil sehinggakan berjumpa pakar kesuburan.

“Saya sangat terkejut dan kelu hingga tidak dapat menjawab,” kata wanita berusia 35 tahun itu kepada AFP.

Bos Sayako memberitahunya pekerja yang lebih tua dan baru berkahwin di tempat kerjanya diberi keutamaan untuk hamil.

Dia berhenti kerja dan berpindah ke pusat asuhan lain dan baru-baru ini melahirkan anak keduanya.

Sekiranya dia terus bekerja di situ,“Saya fikir saya terpaksa berkata ‘Saya minta maaf’ dan bukannya meraikan kelahiran bayi.

Isu “kehamilan berjadual” menjadi topik utama tahun ini apabila seorang lelaki menulis mengenai pengalaman isterinya yang hamil “di luar gilirannya”.

Dalam surat kepada akhbar Mainichi Shimbun, dia berkata dia dan isterinya meminta maaf kepada bosnya di pusat asuhan kanak-kanak.

“Berani kamu melanggar peraturan tanpa bertanya?” kata majikan itu sebagaimana diceritakan pihak suami.

Surat itu mencetuskan perdebatan mengenai amalan ini, yang dikatakan oleh pakar tersebar luas di sektor yang bergelut mencari dan mengekalkan pekerja, seperti industri penjagaan kanak-kanak.

Ia mewakili persimpangan dua isu sosial Jepun yang paling mendesak: populasi yang semakin mengecil dan pergelutan wanita dalam mencari keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.

Diskriminasi

Isu ini hanya satu daripada banyak cabaran bagi wanita bekerja di Jepun, yang berada di bawah negara G7 berhubung wakil wanita dalam bidang politik dan perniagaan.

Amano berkata, ibu bekerja tidak mempunyai banyak contoh dalam jawatan pengurusan dan wanita sering mendapati mereka didiskriminasi selepas mempunyai anak.

Mayu, yang juga bercakap dengan AFP menggunakan nama samaran, berkata “banyak perkara mengecewakan” apabila dia kembali bekerja sebagai jururawat selepas cuti bersalin.

“Ketika saya meminta bos menghantar ke program profesional sebagai untuk kenaikan pangkat, reaksinya adalah: ‘Anda sudah mengambil cuti bersalin dan bekerja lebih pendek. Berapa banyak lagi kelebihan yang anda mahukan’?”

“Saya diberitahu perkara yang sama oleh tiga bos sejak lima tahun lalu,” katanya.

Ibu kepada tiga berumur 42 tahun itu mengambil kesempatan daripada undang-undang Jepun yang membolehkan ibu bapa bekerja lebih pendek masa, dengan menerima potongan gaji.

Dia hanya bekerja satu jam kurang sehari, tetapi tetap mendapati keputusan itu adalah “punca yang merosakkan rancangan untuk kerjaya saya”.

Dia takut jika mengadu tentang apa yang dianggapnya diskriminasi, dia mungkin dihukum oleh pihak atas atau dipindahkan ke klinik terpencil.

Amano berkata peralihan budaya yang lebih menyeluruh diperlukan untuk meningkatkan penyertaan wanita di tempat kerja.

“Terdapat frasa ‘messhi boukou’ dalam bahasa Jepun yang bermaksud ... bunuh kehidupan peribadi anda untuk berkhidmat,” katanya.

“Gaya kerja atau budaya yang dibawa ‘messhi boukou’ sebagai cerita yang sedih adalah akar bagi semua kejahatan ini.” – AFP, 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen