Perkhidmatan Uber di Turki ditamatkan


Uber dijangka diharamkan di Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata ia 'ditamatkan' susulan bantahan besar-besaran pemandu teksi di sana. – Gambar fail EPA, 3 Jun, 2018.

UBER berdepan pengharaman di Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan itu “ditamatkan” pada Sabtu susulan kempen melobi hebat daripada pemandu teksi Istanbul.

Komen Erdogan, dalam ucapan lewat malam di Istanbul, susulan pihak pemerintah bersetuju dengan peraturan baru yang dijangka merumitkan operasi Uber di Turki.

Pemandu teksi kuning Istanbul sejak beberapa bulan lalu melakukan kempen besar-besaran mendesak pengharaman Uber, dengan mengatakan syarikat itu menjejaskan sumber pendapatan mereka tanpa perundangan yang sah.

“Hal muncul kenali sebagai Uber atau Muber atau apa sahaja,” kata Erdogan. “Tetapi isu ini sudah selesai, sudah berakhir sekarang.”

“Perdana Menteri (Binali Yildirim) kita membuat pengumuman itu. Kami mempunyai sistem teksi sendiri,” katanya.

Kerajaan Yildirim bulan lalu mengeluarkan arahan mengenakan kenaikan denda mendadak dan mengugut penyenaraian hitam bagi syarikat yang kenderaannya secara haram berfungsi sebagai teksi.

Persatuan pemandu teksi rasmi berkata pada masa itu langkah berkenaan akan menjadi ancaman utama kepada Uber, jika ia dikuatkuasakan dengan baik oleh polis trafik.

Erdogan berkata walaupun Uber mungkin popular di beberapa negara Eropah, Turki berbeza.

“Kenapa ia (Uber) muncul? Kerana ia berada di Eropah. Tetapi apa yang Eropah bagi saya? Kita akan mengambil keputusan sendiri.”

Komennya datang tiga minggu menjelang pemilihan presiden dan Parlimen. Banyak pemandu teksi Istanbul - walaupun tidak semua - adalah penyokong kuat Erdogan termasuk persatuan teksi utama.

Selepas Erdogan bercakap, puluhan pemandu teksi bergegas menyokong di luar kediamannya di daerah Uskudar Istanbul, menurut agensi berita Dogan.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu menyokong komen Erdogan, menggambarkan Uber sebagai “pengangkutan tidak sah, dengan kata lain pengangkutan lanun”.

“Turki negara yang mempunyai undang-undang. Kita tidak perlu mengucapkan maaf kerana hal ini. Ia (Uber) tidak diberi kebenaran untuk menjalankan perkhidmatan teksi,” katanya dipetik oleh agensi berita Anadolu yang diketuai oleh kerajaan itu.

Sebanyak 17,400 teksi kuning rasmi di Istanbul menjadi tunggak sistem pengangkutan bandar, tetapi pengkritik mengatakan perkhidmatan yang kurang baik dan caj berlebihan membuka peluang kepada Uber.

Bagaimanapun, pemandu teksi membantah Uber sebagai “lanun” yang menjejaskan pendapatan mereka dalam pasaran yang sedia ada sengit. – AFP, 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen