Peranan raja berperlembagaan dalam pelantikan peguam negara


THE Malaysian Insight semalam menyiarkan laporan Yang di-Pertuan Agong tidak bertindak atas nasihat Dr Mahathir Mohamad yang menamakan peguam terkenal, Tommy Thomas sebagai peguam negara, dan meminta perdana menteri menimbangkan pilihannya.

Menurut laporan itu: “Sebaliknya, ada beberapa mesej dari Istana, meminta Pakatan Harapan menggugurkan nama Thomas. Beberapa calon lain dikemukakan kepada Dr Mahathir termasuk seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan seorang hakim Mahkamah Rayuan.”

“The Malaysian Insight difahamkan Raja-Raja Melayu yang lain juga menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong. Mereka dikatakan bertegas seorang peguam Nngara hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam.”

Tepat atau tidak laporan itu, mustahak untuk kita memperakui peranan Agong dalam pelantikan jawatan utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan – termasuk peguam negara.

Malaysia negara kerajaan raja berperlembagaan. Dalam sistem seperti itu, kerajaan raja berperlembagaan diketuai oleh Raja atau Permaisuri sebagai ketua negara – tetapi dalam bingkai Perlembagaan. Raja tiada kuasa eksekutif langsung untuk mentadbir negara. Sistem ini juga diamalkan di United Kingdom, Sepanyol dan Thailand.

Apa kata Perlembagaan mengenai pelantikan peguam negara?

Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai peguam negara bagi Persekutuan.”

Bagaimanapun, oleh sebab kita sebuah negara kerajaan raja berperlembagaan, Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong dalam keadaan sedemikian mesti menerima dan bertindak mengikut nasihat perdana menteri. Tiada ruang untuk menggunakan budi bicara.

Dalam kes Anwar Ibrahim v perdana menteri Malaysia & Anor [2010] 3 MLJ 174, Mahkamah Persekutuan meneliti Perkara 40(1A) dan memutuskan:

“Yang di-Pertuan Agong selepas dinasihati oleh perdana menteri tentang calon pilihannya mesti bertindak atas nasihat tersebut. Seri Paduka tidak mempunyai budi bicara untuk menolak atau mempersoalkan budi bicara perdana menteri…

“Rujukan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu hanyalah formaliti atas kedudukan Seri Paduka sebagai raja berperlembagaan.

“Pengasingan kuasa dan peranan yang jelas antara perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan dan pembatalan jawatan menteri adalah imperatif untuk menzahirkan peranan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.”

Budi bicara

Agong hanya boleh melaksanakan budi bicaranya dalam ruang yang sangat terhad seperti yang terkandung di bawah Perkara 40(2): pelantikan perdana menteri, tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen, dan sebagainya.

Atas hujah yang sama, Majlis Raja-Raja juga tidak perlu dirujuk terlebih dahulu atau mempunyai hak suara dalam perlantikan peguam negara.

Selain itu, tiada keperluan Perlembagaan yang peguam negara mesti dilantik dalam kalangan kaum tertentu atau menganut agama tertentu. Keadaan ini berbeza dengan undang-undang tubuh negeri di Malaysia yang menyatakan dari segi perlembagaan, menteri besar hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam.

Oleh itu, selagi perdana menteri menasihatkan untuk melantik calon peguam negara yang beliau percaya layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, Agong terikat untuk bertindak atas nasihat tersebut.

Jika tidak, teras rangka tindakan pentadbiran negara sebagai sebuah kerajaan raja berperlembagaan akan hancur. Akan jadi satu duluan yang merbahaya sekiranya pemisahan peranan antara raja dan eksekutif itu kabur.

Baik bagi orang kebanyakan atau istana raja, Perlembagaan Persekutuan harus sentiasa jadi panduan untuk semua tentang bagaimana kita berfungsi sebagai sebuah negara demokrasi. – 3 Jun, 2018.

* Lim Wei Jiet, seorang peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya, merangkap timbalan pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen