KELUARGA Lee yang mendominasi Singapura sejak ia diwujudkan perlu menarik diri daripada politik selepas generasi sekarang, adik perdana menteri berkata hari ini ketika sengketa adik beradik keluarga itu berkaitan dengan legasi mendiang ayah mereka semakin tegang.
Negara republik itu digegarkan dengan dakwaan adik beradik Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang dia memanipulasikan memori ayahnya- pengasas Singapura Lee Kuan Yew- untuk kepentingan politiknya.
Lee Hsien Yang dan adik perempuannya Dr Lee Wei Ling mengeluarkan kenyataan enam muka surat menuduh abang mereka menyalah guna kuasa dan mereka sudah hilang keyakinan kepada kepimpinannya.
“Negara perlu lebih besar daripada hanya satu keluarga,” kata Hsien Yang kepada AFP dalam temubual email hari ini.
Sengketa itu mendedahkan isu pewarisan apabila adik beradik itu mendakwa yang Lee dan isterinya, tokoh korporat berpengaruh, Ho Ching, mempunyai cita-cita politik untuk anak lelakinya, Li Hongyi.
Lee Hsien Yang, yang menceburi bidang perniagaan daripada politik berkata anak lelakinya sendiri- seorang ahli akademik di Harvard- tidak berminat untuk menyertai kerajaan.
“Dia percaya ia memberi kesan buruk kepada Singapura sekiranya mana-mana generasi ketiga Lee memasuki politik,” katanya. “Pandangan politik saya dan anak lelaki saya selari.”
Perdana Menteri Lee menafikan semua tuduhan itu dan menyuarakan kesedihan kerana sengketa keluarga itu kini diketahui rakyat.
Dia menyifatkan dakwaan tentang anak lelakinya sebagai “tidak masuk akal” dan Li Hongyi sendiri dalam catatan Facebook mengatakan: “ Saya tidak berminat dengan politik.”
Sejak kemerdekaan pada 1965, negara itu hanya mempunyai tiga orang perdana menteri, dua daripadanya ialah ahli keluarga Lee. – AFP, 15 Jun, 2017.
Komen