Anwar jumpa wakil rakyat PKR dan pimpinan negeri minggu depan


Kamles Kumar Zulkifli Sulong

Pertemuan itu bagi 'membincangkan hala tuju' PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.

ANWAR Ibrahim mahu berjumpa dengan semua wakil rakyat PKR, termasuk bekas wakil rakyat, serta pimpinan parti di peringkat negeri minggu depan, dalam satu pertemuan “membincangkan hala tuju” parti itu, kata sumber dan pimpinan PKR.

Surat panggilan pertemuan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) dan ditujukan kepada semua wakil rakyat parlimen dan negeri serta bekas wakil rakyat, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan pengarah jawatankuasa pilihan raya negeri.

Surat bertarikh 31 Mei itu ditandatangani oleh Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden parti.

“Kehadiran semua ahli Parlimen dan adun adalah diwajibkan,” kata surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar mengesahkan panggilan untuk pertemuan itu tetapi mengingatkan ia tidak harus dilihat dalam konteks yang negatif.

“Tidak ada apa yang negatif tentang pertemuan ini. Kita memang sudah lama hendak adakan pertemuan. Ini untuk bincang masa depan parti.

“Mungkin Anwar akan memberikan pandangannya,” kata Ahli Parlimen Kuala Langat itu kepada The Malaysian Insight.

Ini adalah pertemuan rasmi pertama Anwar dengan semua pimpinan PKR dari seluruh negara sejak beliau mendapat pengampunan penuh diraja dan bebas dari penjara, seminggu selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum.

Pertemuan tersebut akan berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri yang juga isteri Anwar dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Surat itu juga memaklumkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mewartakan keputusan PRU14 pada 28 Mei lalu.

“Untuk makluman semua dari jumlah 113 ahli parlimen Pakatan Harapan (tidak termasuk dari Warisan), Keadilan mempunyai jumlah ahli parlimen terbanyak, seramai 49 orang atau 42% dari jumlah keseluruhan ahli parlimen PH.

“Keadilan juga kini mempunyai seramai 67 adun mewakili semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu,” kata surat itu.

Walaupun menang paling banyak kerusi, PKR mengotakan janji dalam Pakatan Harapan memajukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Wan Azizah jadi timbalannya.

Dr Mahathir setakat ini melantik dua lagi pemimpin kanan PKR ke dalam kabinetnya. Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sementara ketua sayap wanita, Zuraida Kamarudin jadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – 2 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen