Anwar failkan tuntutan gesa Najib, Shafee kemuka penyata bank


Amin Iskandar

Anwar memfailkan tuntutan supaya Najib dan Shafee mendedahkan penyata kewangan mereka terutama dalam tempoh 2013 dan 2014 seperti dakwaan Sarawak Report sebelum ini mengenai bayaran RM9.5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2017

PEGUAM Anwar Ibrahim hari ini memfailkan “discovery application” atau permohonan penzahiran terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah meminta mereka mengemukakan penyata bank dalam tempoh tertentu.

Peguam Latheefa Koya memberitahu The Malaysian Insight, permohonan itu dibuat supaya mereka mendedahkan penyata kewangan berhubung dakwaan bayaran diterima Shafee daripada akuan bank Najib.

Latheefa berkata, dokumen itu sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini selepas permohonan Anwar yang difailkannya terhadap kerajaan minggu lalu.

“Dalam permohonan ini, kami meminta Najib dan Shafee mengemukakan penyata akaun dari mana-mana bank dalam tempoh tertentu,” katanya apabila dihubungi.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Shafee menerima sejumlah tunai daripada Najib.

Shafee apabila ditemui pemberita minggu lalu enggan memberikan sebarang komen.

Minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk mengenepikan sabitan kes liwat keduanya berikutan dakwaan bayaran RM9.5 juta dibuat Najib kepada Shafee melalui dua kali pembayaran.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta Najib mendedahkan penyata akaun bank yang dimilikinya antara Ogos 2013 dan Oktober 2013 dan Januari 2014 hingga Mac 2014.

Terutamanya berhubung pembayaran yang dibuat kepada Shafee pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan 17 Februari 2014 sebanyak RM5.2 juta.

Beliau juga memohon penyata kewangan daripada Shafee dalam tempoh yang sama berhubung pembayaran yang diterima.

Najib dan Shafee diminta memberikan maklumat berhubung penyata bank mereka dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah mahkamah. – 15 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Biasalah..jumlah kerusi lebih penting..fan keadilan tidak perlu berkongsi dgn sesiapa kerusi yg dimenanginya..

    Ppbm walau kuat pun..walau dilihat boleh mencetus gelombang tsunami melayu..blom tentu dpt bertanding jika tiada kerusi diberi...

    Itu percaturan anwat.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Matt Jessy · Ulasan