ARAB Saudi mengumumkan satu lagi rombakan Kabinet dengan lebih menumpukan budaya dan agama dalam usaha negara itu melakukan perubahan imej secara besar-besaran.
Ini adalah perubahan penting kedua yang diambil kerajaan sejak Putera Mohammed bin Salman dilantik sebagai pewaris takhta.
Putera Mohammed berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dibawah pentadbiran bapanya, Raja Salman.
Agensi berita SPA mengumumkan Raja Salman telah menggantikan menteri-menteri kebudayaan, hal ehwal Islam dan tenaga kerja.
Arab Saudi turut mengumumkan akan menubuhkan suruhajaya diraja yang akan dipengerusikan oleh Putera Mohammed untuk Mekah yang dijangka akan menerima kedatangan jutaan jemaah haji pada Ogos.
Putera Mohammed telah memperkukuhkan kuasanya sejak mengenepikan sepupunya sebagai putera mahkota pada Jun tahun lalu.
Sejak itu beliau menerajui beberapa perubahan dasar di negara ultrakonservatif itu termasuk menghidupkan semula panggung wayang dan membenarkan kaum wanita memandu kereta.
Putera Mohammed juga dilihat sebagai penggerak di belakang penahanan 200 kerabat raja dan ahli perniagaan di Ritz Carlton pada November lalu, yang disebut kerajaan sebagai langkah menangani rasuah.
Jumaat lalu, beliau menerima amaran keras dari Al-Qaeda atas “projek dosa"nya yang menurut AQAP termasuk acara gusti WWE yang dianjurkan di Arab Saudi April lalu. – AFP, 2 Jun, 2018.
Komen