18 terbunuh dalam serangan militan di Somalia


Dua restoran itu terletak dalam kawasan yang menjadi tumpuan orang awam untuk berbuka puasa. – Gambar AFP, 15 Jun, 2017.

DUA buah restoran di Mogadishu, Somalia diserang apabila militan Shabaab meletupkan kereta dipenuhi bahan letupan sebelum menembak orang awam yang baru sahaja berbuka puasa malam semalam.

Seramai 18 orang awam disahkan terbunuh, sebelum pasukan keselamatan berjaya menembak mati penyerang.

“Operasi kini berakhir dan penyerang sudah ditembak mati pasukan keselamatan,” kata Mohamed Ahmed Arab, jurucakap kementerian keselamatan Somalia.

“Mereka menyerang tempat perniagaan dan membunuh orang awam tidak berdosa: 18 orang awam terbunuh, termasuk seorang rakyat Syria dan lebih 10 orang cedera,” katanya.

Serangan bermula sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada malam Rabu apabila sebuah kereta meletup berhampiran restoran dan kela Posh Treats, disusuli penyerang menembak sebuah restoran Pizza House berhampiran.

Tempat itu menjadi tumpuan orang awam dan ketika serangan dipenuhi dengan mereka yang baru sahaja berbuka puasa.

Penyerang menghabiskan masa malam itu dengan membunuh orang awam yang terperangkap dalam restoran itu sebelum ditembak mati pasukan keselamatan. – AFP, 15 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen