.jpg)
DI luar sistem komunis, Umno barangkali antara parti politik paling berjaya di dunia. Setidak-tidaknya, ia pernah berjaya.
Selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum yang lepas, keadaannya tidak lagi begitu.
Umno kini dianggap sebagai sebuah pertubuhan politik yang berkhayal, yang masih lagi terperangkap dalam masa lampau. Itulah punca kegagalan epiknya baru-baru ini. Ada suara lantang yang mempersoalkan apa perlunya parti itu sekarang, sehingga ada yang bertanyakan soal identiti dan kesahannya.
Sesetengah pemimpin Umno masih menaruh keyakinan pada parti itu (walaupun kurang meyakinkan). Mereka menggesa ahli-ahli parti supaya bangkit semula.
Saya ragu bagaimana mereka mahu melakukannya.
Apa perancangannya? Umno hari ini tidak sama lagi dengan Umno tempat nenek moyang kita menumpahkan hidup mereka.
Bagaimana saya menganggapi Umno? Jujurnya, ia cukup menyedihkan.
Bagi saya, bagaimana sesetengah pemimpin Umno boleh melaungkan “Hidup Melayu” pada setiap perhimpunan agung parti, menunjukkan kepada rakyat bahawa ini sebuah pertubuhan yang mempertahankan hak Melayu dan Islam, sedangkan mereka sendiri sangat kotor.
Ajaran agama kita yang manakah yang membenarkan pengkhianatan terhadap amanah rakyat yang memilih tuan-tuan? Mana nilai “amanah” tuan-tuan?
Umno bukan sahaja sebuah parti yang korup. Ia mengecewakan rakyat yang ia janji mahu lindungi sejak penubuhannya. Atas alasan ini, adakah tuan-tuan terkejut apabila majoriti rakyat Malaysia tidak lagi hormat pada Umno, termasuk orang Melayu, dan terutamanya poros tengah yang baru?
Kalau tuan-tuan faham hal ini, tuan-tuan akan faham kenapa BN yang diterajui Umno kalah dua pertiga majoriti di Parlimen pada PRU12 dan PRU13, dan kemudiannya, kalah dalam PRU14 dengan cukup memalukan.

Apatah lagi, banyak orang melihat Umno sebagai sebuah tugu, sebuah parti yang tidak berubah yang bergelumang skandal dan pembohongan. Populariti parti ini semakin merosot dari tahun ke tahun tetapi pada 2015-2016, dengan pelbagai skandal yang membelit presidennya, Najib Razak, kredibiliti parti itu makin menjunam.
Selain itu, sesetengah pemimpin Umno dan anak-anak mereka berperangai seolah-olah macam tuan.
Mereka sangat terasing daripada realiti rakyat sehari-hari, menayangkan fiil elit, dan lupa pada hakikat bahawa kalau bukan dek pengundi yang memilih dan percaya pada mereka, mereka tidak akan ke mana.
Budaya dalam Umno sangat jijik sehingga golongan cerdik pandai merasakan mereka tidak lagi dihargai.
Kata-kata “Umno mana suka orang pandai” sudah diulang-ulang beratus kali, sehingga ia jadi sesuatu yang lumrah. Atas sebab itu, masyarakat bandar terutamanya melihat Umno sebagai sebuah pertubuhan yang dipenuhi mereka yang rendah pemikirannya.
Pandangan itu mungkin tidak benar tetapi bolehkah kita salahkan mereka?

Izinkan saya menjelaskannya dengan terus terang. Mereka yang tahu menjilat ketuanya akan naik dalam parti ini. Budaya membodek itu sudah merebak bagaikan barah.
Akibatnya? Setiap orang rasa selamat dalam kepompong khayalannya sendiri. Saya sebenarnya terkejut melihat betapa kita tidak begitu sedar akan persepsi orang lain terhadap kita sebagai ahli Umno.
Sesetengahnya malah bertanya: “Begitu sekalikah orang bencikan kita?”
Selama ini tuan-tuan buat apa?
Sebahagian daripada kita ahli Umno menganggap seolah-olah negara ini tiada kedaulatan undang-undang. Ugut mengugut secara fizikal dan emosi bermahajarela di media sosial atau dalam kehidupan sebenar tanpa ada apa-apa maknanya lagi. Politik kotor sudah jadi norma, sedangkan tidak sepatutnya begitu.
Menteri-menteri diingati kerana membuat kenyataan yang tidak sepatutnya. Kenyataan-kenyataan itu mempunyai banyak sisi yang boleh dimanipulasi oleh (bekas) pembangkang untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Sama ada kenyataan-kenyataan itu sudah diputar belit atau sesetengah menteri itu benar-benar percaya bahawa mereka tidak boleh disentuh, sehingga mereka boleh menghina rakyat sampai begitu sekali.

Masih ingat lagikah logo yang buruk ini?
Bagaimana kita hendak pulih semula?
Memetik kata-kata Bridget Welsh: “Sepanjang dua dekad yang lalu, Umno membuktikan ia tidak boleh berubah, tidak boleh menangani atau membanteras trend negatif ini. Malah, keadaan sebaliknya yang berlaku. Tindak balas terhadap perkembangan yang berlaku menjadikan parti itu semakin lemah.
“Ketika Umno berdepan krisis demi krisis, reaksinya ialah mempertahankan Umno daripada musuh dan bukannya meneliti masalah dalaman parti dengan lebih bermakna. Tindak balas sama juga ternampak sepanjang tahun 2015-2016 berhubung skandal 1MDB dan kesannya masalah-masalah dalaman parti jadi semakin meruncing.
“Umno hari ini terperangkap dalam jeratnya sendiri. Ia memusnahkan dirinya sendiri. Seperti barah, keadaan dalam parti sudah sampai ke peringkat yang bertambah serius.
“Dalam Umno hampir tiada keazaman politik untuk melakukan perubahan norma atau struktur yang sewajarnya, yang diperlukan oleh Umno untuk memenangi semula sokongan majoriti rakyat Malaysia.”
Tetapi bagaimana?
Umno perlu menjauhkan diri daripada tabiat lama bersikap seperti elit. Kita di sini untuk mewakili rakyat. Bukannya untuk rakyat merayu kita. Pemimpin dan ahli Umno perlu membetulkan perangainya. Kita perlu terus menilai persepsi rakyat terhadap kita.
Saya tahu bukannya mudah untuk menyenangkan hati semua orang, malah hampir mustahil. Tetapi apakah rugi untuk memahami kenapa rakyat menolak kita, atau lebih teruk lagi, bencikan kita, kerana inilah yang akan diterjemahkan kepada undi semasa pilihan raya.

Umno perlu faham kenapa, sebelum ini, tiada orang berani berkata benar kepada pemimpin? Adakah kerana mereka pernah mencuba dan dimarahi? Adakah kerana pemimpin lebih selesa dalam kepompong khayalannya sendiri? Adakah kerana kebenaran itu pahit dan perit?
Umno harus menarik lebih banyak cerdik pandai dan memberikan mereka ruang untuk cemerlang. Bukannya dengan mencantas pucuk karier politik mereka hanya kerana tuan-tuan rasa kurang selesa dengan ilmu dan kemampuan tuan-tuan sendiri. Saya tahu, semua orang mahu jadi pemberani.
Tetapi hakikatnya: “Keberanian tidak datang daripada kesetiaan, sebaliknya daripada berkhidmat demi kepentingan Negara dan bangsa. Keberanian datang daripada bekerja dengan rakyat, bukannya menentang mereka, daripada bekerjasama dan mengasah bakat mereka, bukannya melayan mereka sebagai pak turut untuk dibeli, ditipu dan diketepikan. Keberanian ditunjukkan dalam tindakan berkumpulan, bukannya bertindak seorang diri.”
Umno perlu membanteras politik wang. Daripada apa yang saya faham, politik wang sudah jadi sesuatu yang lumrah menjelang hujung dekad 1980-an tetapi sejak itu, ia sudah berakar umbi.
Walaupun saya sangat sedar bahawa politik selalu memerlukan wang, tetapi secara peribadi saya tidak fikir wang adalah alasan untuk berpolitik. Kepentingan rakyatlah sebabnya orang berpolitik. Wang dalam politik harus dikawal selia. Sangat memualkan apabila wang dijadikan sebab untuk memajukan kepentingan politik.
Mari kita renungkan Umno ini dengan lebih mendalam.
Ada orang yang menggunakan wang untuk kuasa, dan menggunakan kuasa yang ada untuk mendapatkan lebih banyak wang, yang kemudian membolehkan mereka semakin mengukuhkan kuasa.
Apakah ini hanya tanggapan saya, atau apakah ini lingkaran setan yang akhirnya menyebabkan kejelekan seperti politik kotor, rasuah, ketirisan, penguasaan yang kaya, duit haram dan kemudiannya hilang keyakinan kepada demokrasi kita. Atau, seperti apa yang berlaku dalam Umno – hilang keyakinan pada pertubuhan ini.
Bagaimana kalau digubal undang-undang mengawal dana politik? Adakah kita bersedia?
Atau bagaimana dengan idea radikal ini. Buangkan wang daripada politik Umno dan lihat berapa ramai lagikan orang yang masih berkata mereka akan berjuang demi hak orang Melayu dan Islam yang menjadi agama kita. Saya hendak tahu sangat, sebenarnya.
Umno mesti berubah. Kita sekarang dalam era “politik baru”.
Memetik Saifuddin Abdullah: “Politik Baru merangkumi empat komponen utama – integriti politik, inovasi demokrasi, rangka kerja tadbir urus baru dan pemikiran politik yang progresif.
“Ini sejajar dengan “Realiti Baru” hari ini, yang terdiri daripada elemen-elemen sejagat (kemajuan ICT dan media sosial, kemunculan kesedaran baru sosial dan tahap ketiga demokrasi apabila rakyat menuntut peluasan proses membuat keputusan) dan keadaan setempat (rakyat yang lebih berpendidikan, urbanisasi, dan kelas menengah yang bertambah). Politik Baru dan Realiti Baru saling lengkap-melengkapi dan ini memberi semangat kepada masyarakat untuk mengharungi demokrasi Malaysia yang matang.”
Ini sebabnya kenapa Umno perlu berubah.
Tidak lama dulu, kita sebenarnya mengakui tentang perlunya Umno menyesuaikan diri dan bergerak maju.
Hal itu terkandung dalam ucapan bekas presiden kita.
“Umno mesti berubah. Proses pembaharuan perlu dilakukan supaya tranformasi dalaman parti kita relevan untuk setiap zaman. Kita lihat apa yang disebut sebagai realiti baru politik atau politik baru.
“Suasana politik hari ini berbeza daripada ketika Umno lahir pada dekad 60-an, 70-an, atau pada 80-an dan 90-an. Suasananya sangat berbeza berbanding persekitaran hari ini. Maknanya, kita mesti mengubah Umno dari segi pendekatan, kaedah, polisi dan seterusnya.
“Tetapi Umno perlu mengekalkan nilai asasnya yang serupa. Prinsip perjuangan, matlamat yang sama, tidak harus berubah. Hanya peraturan, kaedah dan pendekatan.”
Jadi, kenapa kita tidak berubah? Kenapa kita begitu khayal dan selesa? Dan sekarang, kita membayar harganya.
Proses reformasi bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata, tetapi kita harus memulakannya sekarang. Bagaimana kita hendak melakukannya? Ini sesuatu yang mesti kita semua duduk dan fikirkan bersama.
Tubuhkan kumpulan pemikir. Semak apakah perubahan institusi dalaman Umno wajar. Buat penyelidikan.
Buat kaji selidik. Jujur dengan diri sendiri. Minta maaf. Berkembang.
Kamus menterjemahkan berkembang sebagai tumbuh dengan beransur-ansur, atau menjadikan seseorang atau sesuatu berubah dan tumbuh dengan beransur-ansur.
Pepatah lama “berubah atau mati” berakar dari pemikiran Darwin yang menyatakan sekiranya sesuatu benda hidup itu tidak menyesuaikan diri dengan persekitarannya, ia akan mati. Hanya yang tegar akan melangsungkan hidup, dan mereka itulah yang mengubah diri untuk hidup dalam persekitaran yang baharu.
Begitulah juga perihalnya dengan Umno. Sama ada kita menyesuaikan diri dan berubah atau, mati.
Kita mesti membuat pilihan. Sekarang. – 2 Jun 2018
* Nurul Ashiqin Shamsuri adalah ahli Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen