JIKA dilihat pada kenyataannya mengenai prestasi Umno dalam pilihan raya umum 9 Mei, Annuar Musa merupakan bukti yang parti itu akan berdepan masalah besar untuk berkuasa di Malaysia.
Pastinya ketua penerangan Umno itu memilih untuk mempercayai naratifnya sendiri berhubung kekalahan besar partinya dan juga Barisan Nasional (BN) sehingga gagal berkuasa buat kali pertama sejak merdeka.
Walhal, kerendahan hati dan kemampuan untuk kalah dengan beradab seharusnya menjadi titik permulaan dalam usaha pembinaan semula parti.
Sebaliknya, beliau menimbulkan faktor kaum dan agama pula. Perkara inilah yang menyebabkan Umno ditolak dan parti komponen BN tidak dapat meraih sokongan di kawasan tradisi mereka.
Beliau menyebut “statistik awal” tanpa menyatakan sebarang kajian. Annuar berkata Umno mendapat sokongan majoriti daripada pengundi Melayu-Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan beliau juga menggambarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan “bukan Melayu”.
“Apabila kita tengok corak pengundian pula, 75% daripada pengundian mengundi sama ada calon dari Umno/BN ataupun daripada PAS dan kalau kita lihat hampir 60% pengundi Melayu dan Islam itu memberi dukungan untuk mempertahankan Umno,” katanya kepada laman sesawang parti itu, Umno-Online.
Umno menang 54 daripada 79 kerusi yang dikuasai BN di Parlimen. PH menang 122 daripada 222 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan namun jumlah kerusi dimenangi setiap parti komponennya adalah lebih kecil berbanding kerusi yang dimenangi Umno dalam pilihan raya 9 Mei.
PH meraih 47.88% undi popula dalam PRU14, termasuk erusi yang dimenangi sekutunya di Sabah, Parti Warisan Sabah. BN hanya mendapat 33.8% undi, manakala PAS melalui Gagasan Sejahtera hanya mendapat 17%. Jika dihitung, jumlah undi ini adalah 50.8%, lebih tinggi dari yang diraih PH.
Annuar juga menyalahkan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam kerana menewaskan Umno, sedangkan undi Melayu itu terbahagi antara Umno dan PAS.
“Umno kekal sebagai sebuah parti yang mendapat mandat orang Melayu dan umat Islam tinggal lagi kita tidak mendapat cukup mandat daripada orang Cina dan bukan Islam, daripada parti kompenan termasuk MCA dan parti Gerakan,” katanya.
Namun beliau tidak pula menyebut yang BN juga kalah teruk di beberapa kerusi Dayak di Sarawak, yang membolehkan kerusi Parlimen PH di negeri itu bertambah dari enam kepada 10 dalam PRU14.
“Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara kita, Umno dan BN hanya menerima lebih kurang 2% sahaja daripada jumlah pengundi bukan Melayu,” katanya.
Beliau juga menggariskan yang MCA hanya menang satu kerusi, MIC dua dan Gerakan tiada langsung kerusi yang dimenagi.
Bekas menteri itu juga yakin “Umno tewas sebagai BN”. Tapi mungkin Annuar perlu melihatnya yang parti komponen itu juga tewas kerana mereka merupakan sekutu Umno dalam BN.
Realitinya, Annuar dan konco-koconya dalam Umno perlu faham yang mereka perlu melangkaui pemikiran sempit, sektarian dan perkauman untuk kembali merebut kuasa di Malaysia.
Setidak-tidaknya, berhentilah menyalahkan orang lain kerana tidak memilih mereka atau parti mereka. Itu cakap-cakap anak kecil yang merajuk di bucu dinding kerana tidak boleh terima kekalahan. – 2 Mei, 2018.
Komen