KIRA-KIRA 10,000 warga Arab Saudi dijangka berlepas ke Rusia untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA 2018, yang akan bermula pada 14 Jun dengan perlawanan pembukaan antara Rusia dan negara itu, kata Duta Saudi ke Moscow, Rayed Krimly.
“Ini adalah peluang keemasan untuk peminat Arab Saudi untuk melawat Rusia. Anggaran kami adalah sekitar 10,000 rakyat Arab Saudi menghadiri perlawanan pembukaan dan perlawanan lain.
“Ini adalah jumlah terbesar warga Arab Saudi datang ke Rusia,” katanya dalam satu wawancara dengan agensi berita Sputnik.
Krimly berkata kejohanan itu akan memberi peluang yang baik kepada rakyat kedua-dua negara untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik, dengan menyatakan pentingnya acara itu dari segi pelancongan, ekonomi dan sukan.
“Ini penting kerana kedua-dua pihak mempunyai pengetahuan yang terhad antara satu sama lain dan beberapa imej diambil dari filem Hollywood memutarbelitkan realiti di Arab Saudi dan Rusia.
“Melihat realiti dan kemudian bertemu secara langsung dengan rakan-rakan Rusia sangat penting bagi kedua-dua pihak. Ini akan meningkatkan bilangan pelancong Arab yang akan datang ke Rusia,” kata duta besar itu.
Rusia buat pertama kalinya akan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA antara 14 Jun hingga 15 Julai, dengan perlawanan akan berlangsung di 11 bandaraya termasuk Moscow. – Bernama, 2 Mei, 2018.
Komen