Sabah perlukan pembangkang yang kuat


WALAUPUN krisis politik Sabah kelihatan semakin surut, hakikatnya drama tersebut masih belum berakhir. Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah yang satu persatu melompat keluar dan menyertai Pakatan Harapan (PH) merumitkan situasi.

Bermula dengan Upko, kemudian LDP dan seterusnya PBRS yang menyatakan hasrat untuk menyertai PH atas alasan BN sudah tidak relevan lagi di Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimana pula sebelum PRU14?

Politik Sabah tidaklah terlalu berdrama sekiranya Adun yang mengangkat sumpah pada 10 Mei tidak keluar daripada BN. Malah masalah ini tidak berpanjangan jika mereka lebih awal mengambil tindakan dengan tidak menyokong Musa Aman dan menyertai PH.

Ibarat pohon buah yang digoncang menggugurkan buah yang busuk dan buruk, begitulah perumpaan yang sesuai bagi BN di Sabah. Berpusu-pusu rakan komponen BN keluar, meninggalkan hanya PBS dan Umno, yang dikhabarkan bakal dikuburkan di Sabah dan digantikan dengan parti tempatan yang baharu sebagaimana dicadangkan oleh Presiden Star, Jeffrey Kitingan.

Sekiranya BN Sabah benar-benar serius berjuang demi rakyat, inilah waktu keemasan yang perlu mereka manfaatkan.

Peluang baik bagi BN Sabah khususnya PBS-Umno-Star dalam mengukuhkan kedudukan parti yang membentuk pakatan pembangkang di dewan rakyat apatah lagi setelah gugurnya buah-buah busuk, kini hanya tinggal buah yang elok yang masih berguna, yang lebih berprinsip dengan pendirian.

Kewujudan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah amat diperlukan bagi mengimbangi kerajaan yang sedia ada supaya dasar yang dilaksanakan bermanfaat bagi rakyat.

Ketiadaan pakatan pembangkang yang kuat akan menyebabkan Sabah kembali ke zaman awal BN berkuasa di Sabah selepas kejatuhan PBS pada 1994.

Di samping itu, pengalaman presiden PBS Pairin Kitingan sebagai ketua pembangkang pada tahun 1990-1994 dalam DUN Sabah amat berguna ketika ini.

BN Sabah perlu maju ke hadapan dan dalam masa yang sama melakukan reformasi bagi menjadi pakatan pembangkang yang kukuh yang tidak dipelopori oleh politikus berkepentingan dan tiada prinsip perjuangan.

Semoga dengan kewujudan pakatan pembangkang Sabah dapat membawa politik negeri itu ke arena yang lebih maju seiring perubahan zaman.

Itupun kalau BN Sabah benar-benar serius ingin berjuang untuk warga Sabah. – 2 Mei, 2018.

* Firdani Adam ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen