KADAR pengangguran di Amerika Syarikat (AS) jatuh ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun pada Mei susulan pengambilan pekerja jauh melebihi jangkaan dan jumlah tenaga kerja yang terus menyusut, kata kerajaan negara itu semalam.
Dengan kekurangan pekerja dilaporkan di seluruh negara serta di pelbagai industri dan tahap kemahiran, data terkini mengesahkan kadar upah kini meningkat.
Menurut laporan Jabatan Tenaga Kerja, kadar pengangguran turun kepada 3.8% berbanding 3.9% pada April, iaitu terendah sejak April 2000.
Bagaimanapun, kadar pengangguran bagi pekerja kulit hitam atau African-American jatuh mendadak pada bulan lepas kepada 5.9% berbanding 6.6%, iaitu terendah semenjak kerajaan mula menyimpan rekod sejak 1972.
Presiden Donald Trump mengembar-gemburkan angka tersebut merupakan pencapaian utama dasar ekonominya.
Dengan pengambilan yang berterusan dan mantap - jauh melebihi 179,000 purata bulanan untuk tiga bulan lepas - majikan melaporkan perlunya untuk menaikkan gaji dan faedah bagi menarik minat pekerja dan memastikan mereka tidak dibuli pesaing.
Laporan majikan menunjukkan purata pendapatan bagi setiap jam naik 0.3% kepada AS$26.92 pada bulan lepas. – AFP, 1 Jun, 2018.
Komen