Rundingan damai Ukraine disambung semula 11 Jun


Menteri Luar Negeri Jerman Heiko Maas gembira bahawa menteri-menteri luar dari empat negara akan berkumpul 'untuk membincangkan perkembangan masa depan Ukraine dan proses Minsk'. – Gambar AFP, 1 Jun, 2018.

DIPLOMAT dari Jerman, Perancis, Ukraine dan Rusia akan bertemu di Berlin pada 11 Jun sebagai usaha untuk memulihkan proses damai di timur Ukraine, kata menteri luar Jerman pada Jumaat.

“Sejak beberapa minggu yang lalu, dalam perbincangan dengan menteri luar dari Ukraine, Perancis dan Rusia, kami menyasarkan untuk mengadakan mesyuarat baru,” kata Menteri Luar Negeri Jerman Heiko Maas dalam lawatan ke bandar pelabuhan Mariupol di timur negara itu.

Maas, yang diiringi oleh rakan sejawatannya dari Ukraine Pavlo Klimkin, berkata beliau gembira bahawa menteri-menteri luar dari empat negara itu akan berkumpul “untuk membincangkan perkembangan masa depan Ukraine dan proses Minsk”.

Usaha untuk menamatkan konflik selama empat tahun antara tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia yang membunuh lebih 10,000 nyawa sejak 2014 terhenti.

Wakil dari empat negara ‘format Normandy’  itu telah mengadakan beberapa sesi tetapi mesyuarat mereka semakin jarang diadakan.

Pada Selasa, Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian berkata Emmanuel Macron dan Vladimir Putin dari Rusia bersetuju pada sidang kemuncak Saint Petersburg minggu lalu mengenai keperluan untuk memulakan semula proses damai Ukraine bulan ini. – AFP, 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen