PEMIMPIN tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un berkata tekad negara itu untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas nuklear, kekal tidak berubah dan sentiasa konsisten, lapor agensi berita Xinhua, memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Jumaat.
Kim berkata demikian ketika bertemu dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov pada Khamis.
Beliau berharap hubungan Korea Utara-Amerika Syarikat (AS) berhubung isu nuklear Semenanjung Korea dapat diselesaikan melalui kaedah baharu dalam era moden, demi memenuhi kepentingan bersama.
Pada pertemuan itu, Lavrov turut menyampaikan surat peribadi daripada Presiden Rusia,Vladimir Putin.
Turut dilaporkan, kedua-dua pemimpin itu saling bertukar pandangan mengenai prospek Semenanjung Korea dan rantau itu selain perlunya meningkatkan hubungan dua hala, kerjasama ekonomi serta politik.
Lavrov turut memuji usaha Pyongyang dalam menstabilkan hubungan inter-Korea dan Korea Utara-AS termasuk situasi di semenanjung dan di rantau tersebut.
Beliau berkata Moscow menyokong sepenuhnya pendirian Korea Utara dan pertemuan antara pemimpin Korea Utara-AS berhubung isu Semenanjung Korea. – Bernama, 1 Jun, 2018.
Komen