17 maut akibat virus Nipah di India 


Penularan virus Nipah di India kali ini merupakan serangan kali ketiga selepas 2001 dan 2007 di timur negeri Bengal Barat yang meragut 50 nyawa. – Gambar fail EPA, 1 Jun, 2018.

ANGKA korban akibat virus Nipah di India meningkat kepada 17 orang susulan kematian seorang lelaki berusia 25 tahun di selatan negeri Kerala, lapor agensi berita China Xinhua  pada Jumaat.

“Kematian terkini pada Khamis dicatat di daerah Kozhikode, pusat penularan virus Nipah manakala seorang lagi disahkan positif dalam ujian virus itu,” kata seorang pegawai kesihatan negeri.

Semalam, seorang lelaki berusia 56 tahun dan seorang lagi berusia 28 tahun meninggal dunia di Hospital dan Kolej Perubatan Kozhikode meskipun Kementerian Kesihatan India pada bulan lepas  mendakwa berjaya membendung penularan virus maut itu.

Selain 17 kematian yang dicatat di daerah Kozhikode dan Mallapuram, kira-kira 94 orang telah dikuarantin di rumah masing-masing manakala 17 lagi sedang dirawat di beberapa hospital.

“Semua langkah diambil untuk membendung penularan virus itu,” kata Menteri Kesihatan Kerala K.K. Shailaja.

Para pegawai kesihatan berkata sebuah telaga yang dipenuhi kelawar di daerah Kozhikode mungkin merupakan pusat penularan virus Nipah di India.

Ini merupakan kali ketiga virus Nipah menular di India. 

Dua lagi penularan virus itu berlaku pada 2001 dan 2007 di timur negeri Bengal Barat yang meragut 50 nyawa.

Tiada vaksin boleh didapati bagi virus Nipah yang menyebabkan penghidapnya mengalami demam dan sesak nafas sebagai gejala awal, kata pakar kesihatan. – Bernama, 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen