Abu Kassim kini ketuai unit baru dalam PMO


Muzliza Mustafa

Bekas Ketua SPRM Abu Kassim Mohamed kini kini bertugas sebagai ketua pengarah Pusat Governan, Integriti dan Anti-Rasuah Negara, Jabatan Perdana Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2018.

BEKAS penguatkuasa anti rasuah Abu Kassim Mohamed memulakan tugas barunya hari ini di Pejabat Perdana Menteri mengetuai jabatan berkaitan urus tadbir dan integriti.

The Malaysian Insight difahamkan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu kini bertugas sebagai ketua pengarah Pusat Governan, Integriti dan Anti-Rasuah Negara.

Abu Kassim yang berundur daripada teraju SPRM pada Jun 2016, muncul kembali bulan ini dengan menganggotai Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad.

Ahli lain jawatankuasa ialah bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhajaya SPRM Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas (SB) Abdul Hamid Bador.

Pasukan itu ditubuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dua minggu lalu.

Mereka bertanggungjawab dalam semua aspek siasatan, daripada pengesanan kewangan sehingga kepada pengambilalihan aset yang disimpan atau dilabur di dalam atau luar negara kerana salah tadbir dana pelaburan negara, 1MDB.

Pengunduran Abu Kasim dari SPRM pada 2016 berlaku dua tahun sebelum kontraknya tamat, seterusnya mencetuskan kontroversi yang beliau menerima tekanan untuk meletak jawatan.

Ketika beliau berundur, kerajaan Barisan Nasional membubarkan pasukan khas yang ditugaskan menyiasat 1MDB. Pasukan khas ketika itu turut disertai Gani yang juga secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai peguam negara menggunakan alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Abu Kassim berulang kali menafikan beliau menerima tekanan untuk meletak jawatan. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen