Ikram gesa kerajaan kaji pelantikan individu dalam Jakim


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden Ikram, Burhanuddin Lukman berkata Jakim perlu dikekalkan kerana ia berfungsi sebagai badan perantara dasar melibatkan agama Islam antara kerajaan dan umat Islam semasa sidang media di Kompleks Ikram, Seri Kembangan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Jun, 2018.

PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) menggesa kerajaan mengkaji semula pelantikan individu yang menerajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Naib presidennya Burhanuddin Lukman berkata ia merupakan antara cadangan bagi penambahbaikan Jakim yang akan dikemukakan pertubuhan itu kepada perdana menteri.

“Pelantikan mana-mana individu untuk memegang apa-apa jawatan perlu berdasarkan kelayakan dan kepakaran mereka,” katanya dalam sidang media di Kompleks Ikram di Seri Kembangan, hari ini.

Cadangan berkenaan terkandung dalam resolusi 13 perkara berkaitan pentadbiran Islam yang dilancarkan Ikram hari ini.

Resolusi itu turut menggariskan cadangan berhubung kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, melaksanakan Islam sederhana; penyatuan umat berlandaskan al-Quran dan hadis, dan mengutamakan keharmonian rakyat berbilang kaum di dalam negara.

“Kita akan serahkan kepada perdana menteri dalam masa terdekat, itu kita sedang uruskan,” katanya.

Beliau juga menegaskan Jakim perlu dikekalkan kerana jabatan itu selama ini berfungsi sebagai badan perantara dasar melibatkan agama Islam antara kerajaan dan umat Islam.

“Kami yakin Jakim perlu dikekalkan diperkuatkan, diperbaiki, tambah apa yang perlu untuk elakkan konflik dan pertindihan tapi itu perlu dihormati.

“Kita tidak perlu ambil perkara sensitif jangan kita api apikan. Jangan lihat pihak lain. Kadang-kadang kita jangan sensasikan. Kita jangan besar-besarkan,” katanya. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen