Pemuzik jalanan London kini guna teknologi ‘cashless’


Pemuzik jalanan London kini menggunakan sistem cashless, dipercayai pertama di dunia. – Gambar AFP, 1 Jun, 2018.

LONDON memperkenalkan sistem bayaran tanpa tunai (cashless) untuk pemuzik jalanan yang disifatkan penganjur pertama di dunia, kata Datuk Bandar Sadiq Khan pada Ahad lalu ketika mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi, iZettle.

Di bawah program “Busk in London”, pemuzik jalanan di ibu kota Britain itu boleh menerima bayaran tanpa tunai menggunakan kad.

“Sekarang, lebih ramai penduduk London boleh menunjukkan sokongan mereka kepada persembahan jalanan London yang bijak dan berbakat,” kata Khan ketika pelancaran itu. Beliau menggelarkan bandar itu sebagai “kubu kuat musik”.

Charlotte Campbell, pemuzik jalanan sepenuh masa yang sudah menggunakan teknologi itu selama dua minggu mengatakan dia menyedari peningkatan mendadak sumbangan yang diterimanya.

“Saya percaya jika pemuzik jalanan seperti saya tak boleh beradaptasi dengan masyarakat tanpa tunai, kita berisko jadi seni yang pupus,” katanya.

Projek itu membenarkan pemuzik menetapkan jumlah tetap wang derma dan menerima bayaran tanpa tunai daripada orang ramai.

iZettle dan “Busk in London” sudah mula mengedarkan teknologi itu kepada pemuzik jalanan seluruh kota London dan syarikat itu mengatakan ia akan mengedarkan sistem itu kepada lebih banyak organisasi kebajikan, NGO dan perniagaan kecil. – AFP, 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen