AMERIKA Syarikat “tanpa ragu akan veto” draf resolusi PBB untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, kata Duta AS Nikki Haley menjelang pengundian Majlis Keselamatan pada Khamis.
Haley menyifatkan draf dibawa Kuwait bagi pihak negara Arab sebagai “pendekatan berat sebelah yang muflis moral dan hanya akan memperlekeh usaha berterusan keamanan antara Israel dan Palestin.”
Selepas menangguhkan pengundian itu, majlis dijangka akan meneruskannya pada jam 7.00 pm (2300 GMT), kata diplomat.
Kuwait membentangkan draf itu dua minggu lalu, pada mulanya mendesak misi keamanan antarabangsa untuk rakyat Palestin ketika protes bertukar jadi situasi ganas di sempadan Israel-Gaza.
Sekurang-kurangnya 122 orang Palestin terbunuh dtembak Israel sejak kekecohan mula tercetus pada hujung Mac. Tiada rakyat Israel terbunuh.
Versi akhir bagaimanapun mendesak “pertimbangan bertindak untuk menjamin keselamatan dan perlindungan” orang awam Palestin dan memohon laporan daripada Setiausaha Agung Antonio Guterres mengenai kemungkinan “mekanisme perlindungan antarabangsa.”
“Resolusi itu mendesak Israel serta merta menghentikan tindakan mempertahankan dirinya, tetapi tidak menyebut tentang tindakan agresif Hamas terhadap pasukan keselamatan dan rakyat Israel,” kata Haley dalam satu kenyataan.
Beliau juga memberi amaran keras kepada negara Eropah dan lain-lain dalam majlis yang menyokong draf Kuwait itu.
“Mereka yang memilih untuk mengundi menyokong resolusi perlu menjelaskan kepincangan mereka untuk mengambil bahagian dalam mana-mana rundingan berwibawa antara dua pihak,” katanya.
Amerika Syarikat mengedarkan draf resolusinya mendesak Hamas dan Islamic Jihad “menghentikan semua aktiviti ganas dan provokatif termasuk di sempadan” antara Israel dan Gaza.
Envoi PBB ke Timur Tengah, Nickolay Mladenov minggu ini memberi amaran kepada Majlis Keselamatan yang Gaza akan terjerumus ke kancah perang selepas pertempuran antara Israel dan Palestin semakin memuncak di kawasan ditabdir Hamas itu.
Tembak menembak yang berlaku pada Selasa dan awal pagi Rabu bermula dengan pelancaran roket dan mortar ke Israel dari Gaza, menyebabkan Israel bertindak balas dengan menyerang 65 tapak militan di Tebing Gaza.
Kejadian itu adalah yang terburuk sejak perang Gaza pada 2014.
Diplomat mengatakan Palestin mungkin akan mencari sokongan Perhimpunan Agung PBB sekiranya undi Majlis Keselamatan menemui kegagalan.
Draf resolusi itu memerlukan sembilan undi daripada 15 ahli majlis dan tiada undi veto diberikan oleh lima ahli tetapnya- Britain, China, Perancis, Rusia dan AS. – AFP, 1 Jun, 2018.
Komen