Jelaskan pembatalan HSR kepada rakyat Johor


SALAH satu keputusan besar dan drastik yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adalah membatalkan projek pembinaan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Keputusan tersebut telah diumumkan secara rasmi dan Kerajaan Persekutuan kini khabarnya akan berunding dengan Kerajaan Singapura berhubung dengan penalti mencecah RM500 juta yang harus dibayar oleh Malaysia.

Umno Johor merasakan rakyat Johor harus dijelaskan tentang keputusan tersebut. Pandangan ini bersandarkan beberapa sebab.

Pertama, HSR adalah sebuah projek prasarana yang dicadangkan demi membongkar potensi sebenar daerah selatan Malaysia. Ia bukan projek politik dan tidak harus di politikkan.

HSR semasa diputuskan untuk dilaksanakan, diharap akan menjadi “game changer” bagi pembangunan di wilayah selatan Malaysia.

Bukan sahaja ia memudah dan mempercepatkan pergerakan rakyat dari ibu negara ke selatan tanah air dan Singapura. Malah akan banyak membantu memacu pelbagai aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran laluannya.

Di Muar misalnya akan dapat terus dilonjakkan sebagai Hab Pendidikan dan Kota Perabot Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan baik melalui “keterhubungan” yang disediakan oleh HSR.

Kedua, pelaksanaan HSR tidak pernah diputuskan secara tergesa-gesa. Ia telah melalui proses kajian demi kajian merangkumi pelbagai aspek.

Adalah mustahil untuk Malaysia dan Singapura menyetujui sebuah projek yang tidak mempunyai manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ketiga, pembatalan HSR tersebut akan menyebabkan Malaysia terpaksa membayar penalti yang terlalu mahal kira-kira RM500 juta.

Ini sudah pastilah satu pembaziran memandangkan kita membayar RM500 juta dengan tidak memperolehi apa-apa. Merundingkan pampasan bukanlah perkara yang mudah apabila keputusan ini di buat secara “unilateral”.

Keempat, pembatalan projek ini nampaknya dilakukan tanpa rundingan dan makluman dengan Kerajaan Johor dan Singapura. Ini sangatlah mengecewakan kerana kedua-dua pihak adalah pihak berkepentingan paling penting dalam projek tersebut.

Terutamanya Johor, keputusan tersebut akan merencatkan segala pelan pertumbuhannya sedangkan Johor memerlukan prasarana berkelas dunia untuk menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia.

Akhirnya, jika alasannya adalah kerana kedudukan kewangan negara sangat mendesak, maka wajarlah kerajaan mengambil pendekatan merunding semula projek tersebut dengan Singapura, agar ia dapat ditangguhkan ke suatu masa yang mengizinkan.

Haruslah juga di ambil kira bahawa kos untuk melaksanakan projek sedemikian juga akan meningkat berkali-kali ganda jika ia dilaksanakan di masa akan datang.

Pendek kata, tidak akan ada masa yang boleh dianggap sempurna (perfect time) untuk melakukan projek mega seperti HSR. Ia adalah satu keperluan, dan keperluan seperti ini tidak sewajarnya dijadikan korban politik.

Apa yang lebih penting, perkara ini sekali lagi tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak Kerajaan Negeri Johor.

Menteri besar Johor bukan sahaja tidak memberikan kenyataan rasmi. Malah, beliau langsung tidak mempedulikan untuk mengemukakan pendirian Kerajaan Johor berhubung perkara ini, sedangkan HSR merupakan projek mega yang melibatkan kepentingan Johor secara langsung pada skala yang besar.

Sekiranya kerajaan negeri terus bersikap untuk hanya menerima dan akur sahaja akan segala keputusan kerajaan persekutuan tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri, sudah pastilah suara dan kehendak rakyat Johor akan sukar untuk perjuangkan. Bukan sahaja dalam isu HSR. Tetapi juga pelbagai isu lain.

Umno Johor kesal dengan sikap menteri besar Johor yang dilihat tidak bersungguh-sungguh bersuara dalam perkara yang melibatkan kepentingan Johor.

Tindakan beliau gagal menjadikan Johor ini Negeri Nombor Satu, tetapi akan menyusutkan pengaruh Johor menjadi hanya salah satu dari negeri lain. – 1 Jun, 2018.

* Mohamed Khaled Nordin ialah pengerusi perhubungan Umno Negeri Johor dan bekas menteri besar Johor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen