Malaysia minta bantuan Indonesia jejak pemimpin Baju Merah, kata Muhyiddin 


Muzliza Mustafa

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan tetamu selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Jabatan Penjara Kajang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Mei, 2018.

POLIS Malaysia akan meminta bantuan daripada rakan di Indonesia untuk mengesan ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos yang dikatakan telah melarikan diri ke negara itu, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin malam ini. 

Muhyiddin turut menolak rayuan Jamal untuk perlindungan daripada mereka yang didakwa menggunakan polis untuk menangkapnya. 

“Macam mana nak lindung? Beliau tahu beliau salah, lepas itu lari. Saya sudah arahkan Ketua Polis Negara untuk memburunya. 

“Saya dengar beliau di Indonesia dan kita akan meminta bantuan pihak sana untuk mencarinya,” kata Muhyiddin selepas mengadakan solat tarawih di Masjid Jabatan Penjara Kajang malam ini. 

Jamal dikehendaki selepas melanggar ikat jamin dan gagal untuk hadir ke ibu pejabat polis Ampang Jaya pada Rabu walaupun sudah memberi jaminan awal kepada polis untuk hadir bagi diambil kenyataannya. 

Beliau disiasat di bawah sembilan kes. 

Dalam satu klip video yang disiarkan media pada hari yang sama, Jamal mendakwa beliau tidak menolak proses undang-undang tetapi merasakan dilayan secara tidak adil dan ada tangan yang tersembunyi dan berkuasa menggunakan polis ke atasnya. 

Beliau turut meminta bantuan daripada Muhyiddin untuk memberi jaminan beliau tidak akan menjadi mangsa sekiranya menyerah diri kepada polis. 

Kegagalan Jamal untuk menunaikan janjinya menyebabkan polis Selangor mengeluarkan kenyataan mereka akan mendapatkan waran tangkap untuk menahannya sekali lagi. – 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen